Akaun novelisdylas.onpay.my telah dibekukan. Segala kesulitan yang dialami adalah amat dikesali.
[PREORDER] - KISAH PALING INDAH

==========

BACA PERCUMA - BAB SATU

UNTUK PEMBELIAN, TERUS SKROL SAMPAI KE BAWAH



“Tak boleh. Tak boleh.” Entah sudah berapa kali Emir menggelengkan kepalanya. Jari jemari kedua-dua belah tangannya disilang menopang dagu. Matanya dipejam rapat, sedang memikirkan sesuatu. Melihatkan reaksi Emir, Asri mengambil kesempatan ini untuk mengusik.


“Hati-hati, Emir! Ada pemain lawan nak cantas kaki kau!” kata Asri separa menjerit sebelum diiringi dengan ketawa besar.


Emir membuka matanya, menjegil ke arah Asri. Terdiam Asri kerana risau jika perbuatannya sebentar tadi mengundang marah Emir. 


“Cuak?”


Giliran Emir pula yang ketawa kali ini. Dia dan Asri memang sudah sangat rapat. Mereka berkawan sejak dari tingkatan satu lagi. Mereka duduk bersebelahan di dalam kelas pada tahun lalu dan begitu juga pada tahun ini di tingkatan dua.


“Ala. Aku usik sikit je pun. Janganlah marah,” kata Asri sambil tersengih. Dia berkulit hitam manis, tidak terlalu tinggi atau lebih tepat, belum tinggi lagi pada tahun itu. Kelakarnya Asri adalah, dia memakai seluar separas pusat dan bersongkok. Tapi, itu dulu. Sekarang bukan main kemas lagi orangnya.


“Yang kau ni dari tadi asyik tak boleh, geleng kepala, kenapa?” soal Asri.


Emir menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal berkali-kali. Malu pula bila Asri menegur sebegitu. Sebenarnya Asri tahu apa yang dilakukan oleh Emir ketika ini. Ia merupakan image training. Emir sedang melakukan simulasi di dalam mindanya untuk apa-apa perkara yang bakal dia lakukan. Hari ini, image training yang dilakukan adalah untuk persediaan perlawanan persahabatan bola sepak pada petang nanti.


“Aku nervous, Asri. Kau pun tahu kan dah setahun aku tak main friendly ke tournament ke.” Asri yang mendengar hanya mengangguk sambil memejamkan mata, tangannya disilang di dada sambil duduk bersandar. Gaya seperti orang tua. Baru sahaja Asri membuka mulut ingin memberikan sepatah dua nasihat, dia tersenyum mengusik.


“Aku rasa ada orang lagi sesuai untuk bagi kata-kata semangat buat kau,” ujar Asri sebelum bingkas bangun dan meletakkan tangan pada dada sebelah kiri sebelum sedikit menunduk.


“He’s all yours, Ms. Khaleeda.”


“Kau kenapa?” soal Khaleeda dengan nada yang agak mengelirukan. Sepertinya dia marah namun ada juga bunyi seperti dia suka dan malu. Asri hanya tersengih sambil menutup mulut sebelum segera berlalu, memberikan ruang buat dua orang rakannya itu. Khaleeda menjeling sahaja Asri sebelum memandang ke arah Emir.


“Kau okey tak ni, Emir?”


“Aku? Okey je. Kenapa?” Emir tersenyum manis menjawab soalan Khaleeda, gadis ini merupakan di antara insan yang paling rapat dengan dirinya di sekolah ini. Namun, hubungan mereka sekadar kawan baik sahaja. Masing-masing sedar akan tanggungjawab dan amanah yang digalas di saat bergelar pelajar.


“Okey? Dari jauh aku tengok kau asyik geleng kepala je. Apa yang kau bayang dalam image training kau tu?” soal Khaleeda.


Selain Asri, Khaleeda juga merupakan di antara individu yang tahu akan rutin Emir yang satu ini. Sebab itulah mereka berdua dapat mengagak apa sebenarnya yang ada di dalam kepala Emir ketika ini. Tebakan Khaleeda yang mengena ini membuatkan Emir tersipu malu. Aduh, kenapa semua teka tepat pula hari ni?


“Dah. Kau jangan nak tipu. Bukan hari ni kau ada friendly ke?” Sekali lagi Khaleeda menyoal.


Berhadapan Khaleeda, Emir menjadi sedikit gugup. Biasanya mereka berbual saat berjalan pulang ke rumah selepas waktu sekolah. Destinasi Emir adalah di sebuah pondok bas usang di simpang masuk ke sekolah mereka manakala Khaleeda pula ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari sekolah. 


Emir lebih selesa berbual seperti itu kerana dia tidak perlu memandang Khaleeda. Berbeza pula halnya jika berbual di dalam kelas sebegini. Kebetulan pula hari ini semua guru sesi petang mempunyai mesyuarat sehingga waktu rehat, selesa atau tidak dia tetap perlu bertentang mata dengan Khaleeda.


“Haah. Hari ni lawan SEJIWA,” balas Emir.


“Sekolah sains tu ke?” 


Emir mengangguk sebelum membalas dengan nada serius, “Sekolah sains lawan sekolah sains.”


Terpinga-pinga Khaleeda mendengar balasan Emir. Kening sebelah kirinya terangkat sebelum bertanya, “Sekolah sains lawan sekolah sains? Kita bukan sekolah sains.”


Emir masih berwajah serius. Kali ini gilirannya pula mengangkat kening. “Kau betul tak tahu ke, Kay? Kita kan Sekolah Menengah Sains Agama Tinggi Sukan Negeri Sungai Layar dan Integrasi Pendidikan Khas.”


Berderai juga tawa dari gadis seayu Khaleeda mendengar jenaka Emir. Dia masih ingat peristiwa yang berlaku pada tahun lalu. Sekolah mereka telah menjemput seorang penceramah yang agak kurang sensitif. 


Penceramah tersebut menyatakan bahawa dia lupa akan nama sekolah mereka kerana dirinya selama ini cuma berceramah di sekolah sains atau MRSM sahaja dan bertanya jika ada sesiapa yang boleh memaklumkan nama sekolah mereka kepadanya.


Ketika itu jugalah Emir yang baru sahaja tingkatan satu mengangkat tangan. Saat Emir memberikan jawapan seperti apa yang diberikannya kepada Khaleeda tadi, berderai tawa seisi dewan dan para guru yang ada. Nasib Emir baik kerana penceramah tersebut juga profesional dan dapat mengawal emosinya. Dia ikut ketawa sebelum meminta maaf kerana mungkin dia tersilap dalam bicaranya sebelum itu.


“Aku tak boleh lupa betul jawapan kau masa tu.” Berair mata Khaleeda menahan ketawa. 


Emir turut tertawa kecil. Gadis manis di hadapannya ini cukup indah dipandang. Apatah lagi saat dia tersenyum atau tertawa. Bukan sahaja dia, pasti sesiapa pun akan terpukau. Wajah Khaleeda merah padam ditenung Emir sebegitu. Emir yang tersedar akan kesilapannya segera mengalihkan pandangan.


Suasana menjadi kekok seketika. Masing-masing tersipu malu. Sebenarnya, lebih kekok berdiam diri begitu, jadi Khaleeda memilih untuk memecah suasana dengan bertanyakan soalan kepada Emir. Dia tahu, kalau tunggu Emir, memang berterusan begitulah suasana mereka.


“Kau risau Cikgu Mad tak tepati janji ke?”


“Eh?” Terkejut Emir dibuatnya. Nampak gayanya dengan Khaleeda, dia tidak boleh menyelindung sebarang perkara. Pasti akan dapat dihidu atau diduga olehnya.


“Betul, Kay. Apa yang kau tanya tadi tu betul. Kau pun tahu kan impian aku. Kalau tahun ni pun sama macam tahun lepas, aku hanya akan semakin lambat dan jauh dari impian aku.” Wajah Emir kelihatan sedikit sugul.


“Kau tak yakin ke?”


“Aku yakin. Bukan aku nak berlagak, cuma…”


“Cuma apa?”


“Sistem kita tak adil. Yang berbakat, belum tentu layak. Yang layak, belum tentu berbakat. Kau pun faham kan,” luah Emir.


Khaleeda faham benar apa yang dimaksudkan oleh Emir. Tahun lepas, pasukan bola sepak sekolah mereka menamatkan saingan di tempat kedua peringkat daerah. Emir merupakan penjaring terbanyak kejohanan dan jika ada anugerah pemain terbaik kejohanan, sudah tentu ia adalah miliknya. Nasib Emir agak malang kerana dia mengalami kecederaan sewaktu perlawanan separuh akhir dan menyebabkan dia terlepas perlawanan akhir.


✤✤✤


“Kenapa saya tak terpilih jadi wakil daerah, cikgu?” tanya Emir kepada Cikgu Mad pada tahun lalu.


Ketika itu, Cikgu Naim juga ada bersama-sama mereka. Cikgu Naim merupakan cikgu muda yang baru sahaja bertugas di sekolah tersebut. Dia merupakan salah seorang daripada pembantu jurulatih dan dia juga mempunyai persoalan yang sama.


“Cikgu pun tak tahu nak cakap macam mana, Emir,” jawab Cikgu Mad. Matanya memandang tepat ke arah Emir. Wajahnya serius. “Ada dua sebab kenapa kamu tak terpilih.”


Dahi Emir berkerut seribu mendengarkan jawapan Cikgu Mad. Dua sebab? Mustahil ada lebih dari satu. Aku top scorer daerah kot. Itulah apa yang bermain di minda Emir ketika itu.


Cikgu Naim juga keliru dengan jawapan Cikgu Mad. Emir bukan main hebat lagi di atas padang. Dari segi kemahiran dan kemampuan, Emir jauh lebih baik daripada pelajar-pelajar senior tingkatan empat dan lima sekalipun dia baru tingkatan satu. Tiba-tiba ada dua sebab pula Emir tidak terpilih?


Cikgu Mad menarik nafas dalam. Jelas bahawa perkara itu juga bukanlah mudah untuk dia bicarakan. “Sebab pertama, sekolah kita bukan champion. Jadi, cikgu tiada kuasa penuh untuk memilih pemain. Kedua, sebab IC kamu, Emir. Tahun ni kita cuma pilih anak jati negeri ini sahaja.”


“Anak jati?”


“Betul. IC nombor 02 sahaja. Anak jati Kedah. Kamu asal Kelantan, kan?” soal Cikgu Mad.


Emir langsung tidak memberikan sebarang reaksi. Dia tidak menjawab walaupun sepatah apatah lagi mengangguk. Sebab IC bukan 02? Tak masuk akal langsung alasan Cikgu Mad!


“Cikgu faham. Kamu mesti rasa marah sekarang. Tapi cikgu pun tak boleh nak buat apa, Emir. Cuma cikgu boleh janji satu perkara sahaja.”


“Janji apa, cikgu?” Nada suara Emir sedikit keras, menahan rasa geram dek alasan tidak masuk akal yang baru sahaja diberikan sebentar tadi.


“Kalau kita menang tahun depan, cikgu akan pastikan kamu ada dalam pasukan daerah,” balas Cikgu Mad. Dia meletakkan tangan pada bahu Emir dan mengukir senyum. Janji ini bukanlah janji manis semata-mata. Dia benar-benar maksudkannya kerana dia juga kecewa dengan syarat dan kriteria pemilihan pemain pada tahun ini. Ada juga campur tangan individu-individu tertentu yang punya nama dan ‘kabel besar’ sedangkan dia hanyalah guru biasa.


✤✤✤


“Kau jangan risau, Emir. Aku yakin tahun ni impian kau untuk jadi wakil negara akan tercapai…dan sempat untuk kau bawa Malaysia masuk Piala Dunia B-17 nanti,” pujuk Khaleeda, cuba untuk memberi semangat.


“Thanks, Kay. Kau ni tahu je kan apa nak cakap dekat aku,” balas Emir. Senyuman manis terukir pada wajahnya, gembira dengan kata-kata Khaleeda.


Mestilah. Aku akan sentiasa ada untuk kau, Emir. Khaleeda menutup mulutnya. Hampir sahaja pujian itu terlucut keluar dari mulutnya. Tindakannya itu membuatkan Emir sedikit keliru.


“Kau kenapa, Kay?” 


“Eh. Takde apa. Aku baru teringat something.” Laju sahaja Khaleeda membalas kerana malu sendiri.


“Aku balik ke tempat duduk aku dulu. Lagipun dah nak rehat. Goodluck petang ni,” sambung Khaleeda dalam keadaan tergesa-gesa kembali ke tempat duduknya. Siapa sangka interaksi mereka berdua diperhatikan oleh beberapa pasang mata. Antaranya adalah Nabila dan Zahra. 


“Beb, kau rasa dia orang couple ke?” soal Nabila.


Zahra kelihatan sedikit sugul. Dia hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. Reaksi ini membuatkan Nabila hampir sahaja ketawa terbahak-bahak. Dia faham benar kenapa rakannya itu sebegitu.


“Kau jealous ke?” usik Nabila.


“Mana ada!” balas Zahra. Pipinya sudah mula merah. Benar. Dia cemburu. Cemburu melihat kemesraan Emir dan Khaleeda sebentar tadi. Sejak dari tahun lepas lagi dia sudah menyimpan perasaan terhadap Emir. Serba-serbi mengenai Emir dirasakannya begitu sempurna.


“Eleh! Kalau jealous, cakap je la. Tak pun kau terus je confess dekat Emir. Settle masalah,” cadang Nabila.


Cadangan itu sepertinya masuk akal pada pandangan Zahra. Lama dia termenung memikirkan cara yang paling sesuai untuk melakukannya. SMS? Jumpa depan-depan? Hantar surat cinta? Mana satu paling sesuai?!


“Wei. Kau jangan cakap kau betul nak confess dekat dia. Aku main-main je la.” Jari Nabila pantas mencubit lengan Zahra yang sedang di dalam dunianya sendiri itu.


“Aduh! Sakitlah!” Tangan Zahra menggosok-gosok kawasan yang dicubit oleh Nabila.


“Kau ingat aku gila ke? Malu la aku kalau aku yang confess dulu. Nampak macam aku yang terhegeh-hegeh nanti,” ujar Zahra lagi.


“Haa… Tahu pun. Nanti jadi perigi cari timba.”


“Tapi kalau timba tu sempurna macam Emir, tak salah kan?”


“Ah sudah. Kalau dah angau, aku memang tak boleh nak tolong. Pergilah. Pergi. Confess sekarang,” usik Nabila sambil ketawa. Zahra dan Nabila sudah berkawan baik dari sekolah rendah lagi. Kebetulan pula mereka masuk ke sekolah menengah yang sama dan ditempatkan pula di dalam kelas yang sama, menjadikan mereka lebih rapat. 


“Tapi aku tak pernah pun cakap dengan dia. Takkan nak terus confess,” ujar Zahra.


“Kalau macam tu, hari ni kau kena mula cakap dulu dengan Emir. Dia ada match hari ni. Kau boleh tegur dia dan wish good luck. Boleh?”


“Mana kau tahu hari ni dia ada match?” soal Zahra.


“Err… Zamirul yang cakap dekat aku.” Saat nama Zamirul disebut, Nabila yang agak ‘meriah’ tiba-tiba tersipu malu. 


“Aku agak dah,” kata Zahra. Dia tidak mampu menahan ketawa melihatkan rakannya itu yang tiba-tiba sahaja tersipu malu. Matanya sudah mula berair akibat menahan ketawa.


“Ala… Tidak-tidak aku berani. Kau janji eh kejap lagi kau cakap dengan Emir. Aku teman kau.” Bersemangat benar Nabila ingin membantu Zahra. Semua ini kerana Emir dan Zamirul berkawan baik. Jadi, kalau dia berjaya dapatkan Zamirul dan Zahra berjaya dapatkan Emir, pasti lebih seronok.


“Okey. Okey. Tengoklah macam mana nanti.” Sekalipun kedengaran acuh tak acuh sahaja balasan Zahra, di dalam dadanya sekarang ini, dia sangat berdebar.


==========

BACA PERCUMA - BAB DUA



Emir baru sahaja keluar dari tandas. Dia memilih untuk menukar pakaian di dalam tandas berbanding di padang seperti rakan-rakannya yang lain. Entah kenapa, dia berasa malu untuk melakukannya di tempat awam. 

“Emir dah keluar dah tu. Cepat!” gesa Nabila. Dia dan Zahra sudah lebih lima minit menunggu tidak jauh dari tandas lelaki. Menunggu Emir.

“Emir!” laung Nabila.

Emir segera berpaling ke arah suara yang memanggilnya. Nabila? Zahra pun ada sama? Kebetulan pula tempat mereka berdua berdiri adalah kawasan yang akan dilalui oleh Emir untuk ke padang. Jadi, dia tiada masalah untuk bergerak ke arah mereka berdua.

“Uit. Ada apa, Nabila?” 

“Wah kau. Aku panggil pun tak boleh ke?” Memang begitu sikap Nabila. Kasar. Emir juga sudah biasa dengan sikap tersebut kerana Nabila kerap juga datang ke mejanya untuk meminta bantuan di dalam pelajaran.

“Belum apa-apa dah kena marah,” balas Emir, bergurau.

“Aku tak marah. Macam tak kenal je aku macam mana. Zahra ada benda nak cakap dengan kau ni.”

Zahra mula terasa pipinya panas. Dia tidak tahu mereka yang lain dapat melihat wajahnya sudah merah padam ketika ini. Kulitnya yang cerah benar-benar mengkhianati dirinya ketika ini. Emir yang memandang juga sedikit terpukau.

Cantik. Patutlah ramai senior minta aku sampaikan salam pada Zahra. Kebetulan pula Emir sekelas dengan Zahra. Jadi, ramai senior yang cuba merisik perihal Zahra menerusinya. 

“Ada apa tu, Zahra? Match dah nak mula. Aku kena cepat.”

“Eh. Kau ni. Sabar kejap boleh?” pintas Nabila, geram.

Emir tidak mampu lagi menahan ketawa. Memang ‘mulut petir’ betul Nabila. Sebab itulah dia tertanya-tanya kenapa Zamirul boleh jatuh hati pada Nabila. Sekalipun begitu, masing-masing belum pernah lagi meluahkan perasaan. Selaku kawan baik, Zamirul mendengar nasihat Emir untuk fokus pada akademik dan sukan terlebih dahulu di zaman sekolah.

“Okey. Sorry. Cakaplah, Zahra,” ujar Emir. Nadanya sentiasa tenang. Suaranya juga menenangkan, membuatkan Zahra semakin tidak keruan dan bertambah gugup.

“Aku sebenarnya…nak ucap good luck untuk match kau petang ni.”

“Oh. Aku ingatkan kenapa tadi. Apapun terima kasih, Zahra.” 

“Kau orang lawan SEJIWA kan?” soal Zahra sedikit tergesa-gesa. Dia tidak ingin perbualan mereka tamat sepantas itu.

Emir mengangguk, “Betul. Macam mana kau tahu?” Emir memandang Nabila. Sangka Emir, pasti Zamirul yang berkongsi mengenai perlawanan tersebut kepada Nabila dan Nabila pula berkongsi dengan Zahra. Nabila mengangkat bahu tanda dia sendiri tidak tahu.

“Ayah aku sebenarnya coach SEJIWA. Dia ada cakap hari tu masa kita orang tengah makan,” terang Zahra. 0000

Nabila sendiri terlupa bahawa ibu dan bapa Zahra merupakan guru. Ibunya guru di sekolah mereka, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar, SMKSL. Manakala bapanya pula merupakan guru di Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa (SEJIWA).

“Oh. I see. Jadi, kau sokong pasukan mana hari ini?” soal Emir sekadar mengusik Zahra.

Namun usikan tersebut sebenarnya membuatkan Zahra semakin tidak keruan. Dia tidak menyangka sekalipun mereka tidak pernah berbual, Emir akan mengusiknya sebegitu. Disebabkan itu, dia terluahkan sesuatu yang akan dikesalinya untuk satu tempoh yang agak lama.

“Mestilah aku sokong kau!”

“Aduh…” ujar Nabila sambil menepuk dahi. Dia kemudian mencelah untuk menyelamatkan rakannya itu. “Maksud Zahra, sokong kau dan sekolah kita. Semua orang tahu yang kau kan hebat, Emir.”

Zahra pula keras terpaku selepas menuturkan kata sedemikian rupa. Apa aku cakap tadi? Terasa seperti mahu sahaja dia berlari meninggalkan mereka berdua di situ. Dia malu! Tapi jika dia melakukan itu, pasti akan lebih kekok.

“Betul! Budak-budak kelas kita pun selalu cakap pasal kau, Emir. Dia orang cakap kau ni hebat sangat,” pintas Zahra cuba untuk menyelamatkan suasana.

Melihat wajah Emir yang tersipu mendengar pujian tersebut, Nabila tidak mampu mengawal diri dari mengusik, “Amboi. Kembang habis hidung kau dengar orang puji?”

“Dah. Dah. Nanti lambat pula kau nak main bola. Kita orang pun nak masuk kelas dah ni,” sambung Nabila.

“Kau orang tak datang tengok ke?” Entah kenapa soalan itu ditanya oleh Emir. Benar-benar mengundang ‘mulut petir’ Nabila untuk menjawab.

“Hello! Kau je yang dapat pengecualian boleh skip kelas. Kita orang kena masuk belajar. Barulah boleh jadi perfect student macam kau.” Bertalu-talu Nabila membalas, mengusik Emir.

Emir hanya mampu menggaru-garu kepalanya. Tak boleh tersilap cakap sikit dengan Nabila ni. Dia pun segera meminta diri kerana dia sudah terlewat sebenarnya untuk memanaskan badan, “Aku minta diri dulu. Bye, Nabila. Bye, Zahra.”

Sekalipun hanya perkataan ‘bye’ dan namanya disebut, Zahra sudah berasa cukup gembira. Dia tahu hari ini akan menjadi permulaan kepada sesuatu yang lebih baik di antara mereka berdua. Dia yakin. Dia menghantar Emir pergi dengan pandangan matanya yang tidak berkedip walau sekali.

“Amboi. Sampai bila tu nak usha Emir?”

“Eh. Mana ada.”

“Jangan tipu. Ingat aku tak nampak?” Kali ini Nabila ketawa besar. Dia gembira buat rakannya itu. Dia juga gembira kerana dapat membantu. 

“Dah. Jom masuk kelas. Kalau lambat, kau punca.” Zahra segera berlalu.

“Eleh. Kenapa aku punca? Kau yang nak jumpa Emir kan?” kata Nabila sambil mengejar Zahra.

✤✤✤

“Formasi kita macam biasa,” ujar Cikgu Mad kepada para pemain pasukan bola sepak SMKSL B-15.

Selesai sahaja membaca nama pemain yang akan membarisi kesebelasan utama, Cikgu Mad teruskan dengan agenda seterusnya, penamaan kapten pasukan. Ada beberapa calon yang sesuai namun jika dibandingkan, hanya seorang sahaja yang jauh mengatasi mereka yang lain.

“Emir, cikgu amanahkan tanggungjawab ini kepada kamu,” kata Cikgu Mad sambil tangannya memberikan isyarat kepada Cikgu Naim.

Di tangan Cikgu Naim sekarang ini dipegang sebuah lilitan kapten berwarna putih dengan huruf ‘C’ dicetak besar yang membawa maksud ‘captain’. 

“Kiri ke kanan, Emir?”

“Kanan, cikgu.”

Cikgu Naim membantu memakaikan lilitan kapten tersebut pada lengan sebelah kanan Emir. Dengan tubuhnya yang tegap dan berketinggian 170 cm itu, ditambah pula dengan lilitan kapten pada lengannya membuatkan aura Emir tidak ubah seperti seorang pemain bola sepak profesional bertaraf dunia.

Timbul rasa gerun bukan sahaja pada pemain pasukan lawan, malah rakan-rakan sepasukan juga turut merasakan aura tersebut. Kelihatan pemain-pemain pasukan lawan berbisik sesama mereka. Risau barangkali dengan kewujudan Emir.

“Buat yang terbaik, Emir. Cikgu akan rakam aksi kamu dalam setiap perlawanan. Cikgu akan pastikan orang ramai tahu di Sungai Layar sekarang ini ada seorang pemain yang akan menjadi legenda bola sepak negara.” Kata-kata Cikgu Naim ini menghadirkan satu perasaan dan semangat yang membara di dalam diri Emir.

“Terima kasih, cikgu.” Tangannya digenggam erat. Benar. Ada banyak yang perlu dilakukannya bermula hari ini. Dia perlu memastikan dia sentiasa mempamerkan permainan yang luar biasa supaya dia akan berjaya untuk merealisasikan impiannya sesegera yang mungkin.

Emir dan rakan-rakan sepasukan B-15 membuat satu bulatan di luar padang. Sebagai kapten, Emir memilih untuk memberikan kata-kata semangat buat rakan-rakan sepasukannya sebelum diakhiri dengan satu teriakan yang menggegar padang.

“Emir!” panggil satu suara yang sangat dikenali oleh Emir. Suara Khaleeda.

“Kay! Kau tak masuk kelas ke?” 

“Aku kan ada latihan bola jaring. Lupa ke?” Petang ini Khaleeda lengkap berpakaian sukan. Sekalipun begitu, dia tetap menutup auratnya dengan sempurna. Khaleeda merupakan ayam tambatan pasukan sekolah di dalam sukan bola jaring dan bola baling. 

Buat masa ini, hanya sukan bola sepak dan bola jaring sahaja yang memulakan latihan mereka kerana kejohanan untuk kedua-dua sukan ini biasanya akan dilangsungkan terlebih dahulu berbanding sukan-sukan lain. Sebab itu jugalah selepas tamat latihan pada waktu petang, mereka kerap berjalan beriringan keluar dari sekolah.

Emir menepuk dahi, “Aku lupa.”

“Buat yang terbaik petang ni, Emir. Aku yakin kau boleh!” Khaleeda mengangkat ibu jari kedua-dua belah tangannya sebagai sokongan buat Emir.

Emir turut membalas dengan aksi yang sama sebelum secara spontan melambai Khaleeda dan berlari masuk ke tengah padang. Dia berasa lebih bersemangat pula mempunyai rakan-rakan yang sentiasa menyokongnya seperti Asri, Zamirul dan Khaleeda.

“Awek wish good luck ke, bro?” usik Aidil, senior tingkatan tiga yang bermain di posisi penyerang. Kebetulan pula mereka berdua tinggal di taman perumahan yang sama.

“Mana ada. Kita orang kawan je la.” Laju Emir menafikan perkara tersebut namun senyuman tidak lekang dari wajahnya.

“Eh. Kalau betul pun apa salahnya. Senior-senior pun ramai aim nak mengurat dia. Kalau tak nak terlepas, baik kau buat kerja cepat.” Kali ini nada Aidil sedikit serius. Dia sebenarnya suka melihat Emir dan Khaleeda. Dia sendiri tahu jika Emir happy, permainan Emir akan lebih mengujakan dan akan membantu pasukan mereka.

“Siapa?” Nada Emir menjadi sedikit serius.

“Kau kenal Izzudin? Budak kelas 301, kelas aku. Dia salah seorang,” jawab Aidil.

“Din?” Emir kenal siapa orangnya. Tubuhnya tinggi, berkulit cerah, berkaca mata, rambutnya disisir rapi dan tubuhnya juga tegap. Boleh tahan tampan juga. Dia merupakan salah seorang pemain bola baling untuk pasukan sekolah. 

Patutlah tahun lepas dia bukan main lagi cuba nak dekat dengan Khaleeda. Masa aku tengah berborak pun dipintasnya. Ada agenda rupanya. Emir ketawa kecil. Bukanlah dia kisah sangat sebenarnya kerana baginya Khaleeda adalah sahabat baiknya. Buat masa ini, dia belum ingin melayan soal hati dan perasaan kerana mereka masih muda. Cuma, dia agak rimas apabila teringatkan tingkah laku Din yang membuat Khaleeda seperti kepunyaannya.

“Eh kau. Kau ketawa kenapa?” Pelik pula Aidil melihat reaksi Emir selepas nama Din disebut.

“Takde apa,” balas Emir.

“Fokus. Match dah nak mula,” tambah Emir. Kali ini nada, pandangan mata dan auranya berubah. Dia sudah di dalam mode pemain bola sepak.

Aidil hanya mengangguk. Dia sudah boleh faham perwatakan Emir. Apabila melibatkan soal bola sepak, tiada apa yang mampu menghalang fokus Emir. Di dalam padang, Emir yang paling banyak berlari, memberikan arahan dan cover kesilapan rakan-rakan sepasukan. 

Wisel kemudiannya ditiup menandakan perlawanan telah dimulakan. Bola dimulakan oleh pasukan SMKSL menerusi hantaran daripada Aidil kepada Emir. Emir yang menerima bola memandang ke arah Azrul, pemain tengah pasukan mereka. Pandangan Emir itu dapat dibaca oleh dua pemain penyerang pasukan SEJIWA.

Sangka mereka, pasti Emir akan menghantar bola ke arah Azrul. Mereka berlari laju untuk memintas hantaran tersebut. Namun, sangkaan mereka meleset. Emir menggunakan kaki kirinya untuk melakukan satu low driven pass kepada Zamirul yang berada di posisi pertahanan kiri.

Pasukan SMKSL menggunakan formasi 4-5-1 dengan Aidil menjadi penyerang tunggal pasukan mereka manakala Emir pula diberikan peranan bebas di atas padang. Sekejap dia berada di barisan serangan, sekejap mengemudi bahagian tengah dan tiba-tiba sahaja menguatkan barisan pertahanan.

“Nice, Emir!” jerit Zamirul saat menerima hantaran cantik daripada Emir. Mereka berdua kerap berlatih bersama-sama jadi dengan mudah mereka dapat memahami di antara satu sama lain. Emir hanya memberikan isyarat dengan matanya sahaja dan Zamirul faham apa yang perlu dilakukannya.

Dia berlari bersama-sama bola pada bahagian sebelah kiri padang sepantas yang mungkin. Kelebihan Zamirul adalah pada kemampuannya menahan bola, merampas bola dan hantaran lintang atau crossing ke kawasan penalti pasukan lawan. Maksud isyarat mata Emir sebentar tadi adalah untuk Zamirul melakukan early cross kepada Aidil yang sudah menunggu di dalam kawasan pertahanan lawan.

“Jaga nombor 21!” laung Cikgu Shahab, jurulatih pasukan SEJIWA dari luar padang. Kewujudan Emir di dalam padang memberikan tekanan kepada semua baik pemain, jurulatih atau penyokong pasukan lawan. Nombor 21 adalah nombor kegemaran Emir. Ada kisah di sebaliknya yang akan dikongsikan nanti.

Zamirul kini sudah tidak jauh daripada kawasan penalti pasukan lawan. Dia segera mengangkat kaki dan dihayun menggunakan kekuatan yang mencukupi bagi melakukan crossing yang cantik dan tepat kepada Aidil.

Aidil tersenyum, Cantik! Macam biasa, kerja aku… Dia memandang ke kawasan tengah padang, dia melihat Emir berlari laju ke arahnya. Di kiri dan kanan Emir, dua orang pemain lawan sedang mengejar dan memberi tekanan kepadanya. Tindakan kedua-dua pemain tersebut sepertinya sia-sia kerana sekelip mata sahaja mereka telah ditinggalkan oleh Emir.

“Emir!” jerit Aidil sebelum menanduk bola dengan kemas ke arah Emir. 

“Terbaiklah, bro.”

Bola tersebut tidak terus sampai kepada Emir namun melantun tepat ke arahnya. Tanpa memperlahankan lariannya, Emir mengangkat kaki kanannya tinggi ke belakang. Sepenuh tenaga dikumpul pada bahagian kakinya itu sebelum dihayun kuat menghentam bola.

Bunyi dentuman yang sangat kuat kedengaran. Bola tersebut melayang dan meroket laju ke arah gawang pasukan SEJIWA. Masing-masing terpempan melihat bola yang mustahil untuk dihentikan oleh mereka atau lebih tepat untuk peringkat umur mereka. Sekelip mata, bola menerjah jaring dan bunyi tiupan wisel pula kedengaran.

“Goooolllllll!”

Siapa sangka percubaan pertama dan belum sampai dua minit perlawanan dimulakan, sudah menghasilkan gol yang sebegini cantik dan luar biasa!



==========

BACA PERCUMA - BAB TIGA



Sorakan para penyokong, rakan-rakan sepasukan, pasukan B-18 dan barisan jurulatih memecah suasana. Mereka melompat keriangan dan nama Emir dilaung berkali-kali. Cikgu Mad dan Cikgu Naim juga tidak mampu mengawal rasa teruja mereka usai melihat teknik sepakan luar biasa yang ditunjukkan oleh Emir. Cikgu Mad memegang kepalanya, tidak percaya dengan apa yang disaksikan. Cikgu Naim pula menyertai mereka yang lain.

Rakan-rakan sepasukan Emir yang berada di dalam padang berlari mendapatkan Emir. Ada yang melompat memeluk Emir, mengusap rambutnya dan tidak kurang juga yang melakukan double high five dengannya. 

“Padu betul kau, Emir!” puji Zamirul yang sebenarnya berlari lebih awal untuk meraikan, sebelum Emir melakukan rembatan lagi kerana dia yakin Emir pasti akan menjaringkan gol.

“Kau punya crossing yang mantap. Mudah Aidil bagi aku tadi,” kata Emir, menafikan bahawa gol tadi adalah usahanya sendiri. Dia tahu, sehebat mana pun dia sebagai seorang pemain bola sepak, tidak akan mampu untuk menentang sebelas orang pemain lawan seorang diri di atas padang.

“Kita orang tak sempat sentuh bola lagi pun dah dapat gol. Mana boleh macam ni, Emir,” usik Fazrul, penjaga gol pasukan B-15 SMKSL.

Emir hanya ketawa sebelum berkata, “Sorry,geng. Lepas ni kita main possession football. Tadi aku nak dapatkan gol awal je.”

Mereka ikut ketawa sebelum kembali ke posisi masing-masing. Permainan masih berbaki 58 minit. Segala kemungkinan dapat berlaku dalam tempoh tersebut jadi mereka tidak boleh berasa begitu selesa sekalipun sedang mendahului. Cikgu Mad mula melaungkan arahan dari luar padang, “Fokus! Fokus! Emir, support defend. Kitamain dari bawah.”

Emir mengangkat kedua-dua belah tangan membentuk huruf ‘O’ yang membawa maksud okey. Badannya dicondongkan sedikit ke kiri. Tindakan Emir ini membuatkan mereka yang berada di luar padang ketawa terbahak-bahak. Lucu pula melihatkan seseorang dengan tubuh setegap Emir melakukan aksi comel sebegitu.

“Apa benda Emir buat?” soal salah seorang pemain simpanan sambil ketawa besar. Ketawanya itu seperti berjangkit, habis mereka di luar padang turut sama ketawa.

Permainan diteruskan seperti biasa dan kali ini ia lebih perlahan kerana pasukan SEJIWA memilih untuk park the bus, sebuah strategi yang meletakkan semua pemain di kawasan pertahanan bagi mengelakkan serangan daripada pasukan lawan.

“Aduh. Bosanlah lawan team macam ni,” rungut Azrul. Dia bertukar-tukar hantaran beberapa kali dengan Emir kerana pasukan lawan hanya menghantar seorang pemain sahaja untuk memberikan tekanan kepada mereka. Emir tidak segera menjawab kerana strategi ini juga digunakan oleh pasukan-pasukan profesional. Suka atau tidak, dia perlu mencari cara untuk meruntuhkan strategi dan formasi ini.

Emir yang ketika itu baru sahaja menerima hantaran daripada Azrul melakukan satu hantaran jauh ke belakang, kepada Farid, pemain pertahanan tengah pasukan mereka. “Kau nak buat apa, Emir?” tanya Azrul yang sedang keliru.

Emir tersenyum nakal, “Kau tengoklah apa aku nak buat.”

“Farid, pass dengan defenders dulu,” arah Emir.

Farid mengangkat ibu jari kanannya, tanda menerima arahan Emir dengan jelas dan akan menurutnya. Farid menghantar kepada Akmal, kepada Zamirul dan kepada Ibrahim. Sekali-sekala, Fazrul turut meminta bola untuk dihantar kepadanya. Fazrul sedikit nakal. Dia menimbang bola di depan gawangnya sendiri.

Tindakan mereka ini membuatkan pemain-pemain pasukan SEJIWA mula hilang sabar. Mereka sedang berkumpul di dalam kawasan pertahanan sendiri sementara pemain-pemain pasukan SMKSL pula bermain di dalam kawasan mereka. Sepertinya pasukan SEJIWA berdiri sahaja dan bukan bermain bola. Barisan pertahanan mereka akhirnya hilang sabar dan perlahan-lahan naik ke atas. Strategi dan posisi pemain mereka juga mula berantakan. 

Peluang inilah yang ditunggu-tunggu oleh Emir. Dia melaung kuat untuk meminta bola daripada Farid. Farid segera melakukan hantaran jauh kepada Emir. Saat bola hampir sampai ke kakinya, seorang pemain tengah pasukan lawan segera cuba untuk memberikan tekanan dari arah belakang. Emir menahan bola dengan kemas sebelum berpaling menghadap lawannya. Dia memberikan sebuah senyuman manis, sengaja untuk mengganggu emosi pemain lawan.

Kaki kanan Emir menolak bola dengan pantas ke sebelah kanan. Tindakan ketara Emir ini memudahkan pemain lawan untuk bertindak dan bergerak ke arah yang sama. Di sinilah silapnya buat pemain lawan. Kaki Emir dengan lincahnya menolak semula bola ke arah berlawanan. Teknik ini dikenali sebagai elastico.

Rebah pemain lawan yang cuba untuk menukar arah dengan serta-merta. Emir pula berlari deras ke arah pasukan lawan. Rancangannya ketika ini hanya satu. Dia ingin menggelecek seramai mungkin pemain lawan seorang diri. Mustahil? Dah beberapa kali dia melakukannya selama ini.

“Wooohoooo!” Sorakan daripada penonton semakin galak. Emir ‘belanja’ bermacam-macam skill sekarang ini. Dengan mudahnya dia mengatasi semua pemain lawan yang cuba merampas bola dari kakinya. Selang beberapa detik kemudian, Emir sudah berhadapan dengan pertahanan terakhir pasukan lawan.

Pemain tersebut tidak berfikir lama, dengan segera dia melakukan satu bentesan keras. Sasarannya? Kaki Emir yang lincah itu. Emir masih ingat, bentesan beginilah yang menyebabkan dia cedera pada tahun lalu sehingga terlepas perlawanan akhir. Sudah tidak terkira jumlah image training yang dia lakukan untuk situasi tersebut. Dia sudah lama bersedia!

Dia melompat tinggi bersama-sama dengan bola yang seolah-olah melekat di kaki kanannya. Lompatannya cukup kemas dan memukau. Emir sepertinya sedang ‘terbang’ ketika ini, bagi mata yang sudah terpukau dengannya seperti Khaleeda.

“Hebatnya…” puji Khaleeda yang terpacul keluar dari mulutnya tanpa dia sedari.

“Tengok boyfriend main ke?” usik salah seorang senior yang berdiri di sebelah Khaleeda.

Pemain-pemain pasukan bola jaring SMKSL berlatih di padang itu juga. Gelanggang bola jaring mereka hanyalah di atas padang rumput, bukan di dalam dewan. Kebetulan pula ia terletak betul-betul di sebelah padang bola sepak. Jadi, tiada masalah buat mereka untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Khaleeda tersipu malu sebelum pantas menafikan, “Mana ada, Kak Erma.”

“Tipu. Dia dengan Emir tu rapat tau, kak,” celah Hanim, rakan sepasukan mereka.

“Eh. Kau ni. Kita orang memang rapat. Tapi mana ada declare apa-apa lagi. Buat masa ni kita orang memang kawan,” nafi Khaleeda.

“Oh. Kalau macam tu, akak ada chance la kan?” 

“Err…” Terus terdiam Khaleeda diusik begitu. Emir aku punya! Ingin sahaja dia menjerit, tapi apa gunanya? Emir bukan milik dia. Bukan milik sesiapa.

Mereka yang lain ketawa gembira kerana dapat mengusik Khaleeda. Sebenarnya sejak dari dulu lagi sudah ada kisah couple di antara pemain bola sepak dan pemain bola jaring sekolah mereka. Bukannya perkara baru jika ia berlaku lagi di antara Emir dan Khaleeda.

Ketawa mereka dihentikan oleh sorakan penuh keterujaan daripada penonton yang menyaksikan perlawanan bola sepak. Emir kini hanya berdepan dengan penjaga gol pasukan lawan yang sudah meluru keluar. Pada pandangan orang ramai, Emir pasti akan memperlahankan lariannya untuk melakukan satu rembatan ke gawang lawan.

Sebaliknya pula yang berlaku. Emir berlari lebih deras. Melihatkan reaksi Emir, penjaga gol lawan juga memilih untuk menerpa ke arahnya. Langgar pun langgarlah. Itu adalah apa yang bermain di dalam fikiran penjaga gol tersebut ketika itu. Dia tidak takut untuk melakukan kekasaran terhadap Emir.

Emir berlari sedikit ke hadapan bola. Dia meninggalkan bola? Tindakan Emir ini disangka sebagai tersilap langkah oleh orang ramai. Seketika kemudian, ada kejutan disajikan buat mereka. Emir menguis bola naik ke atas dari arah belakang tubuhnya menggunakan tumit, tinggi ke udara. Bola tersebut melepasi jangkauan penjaga gol lawan dan seolah-olah membentuk pelangi sesuai nama teknik tersebut, rainbow flick. Ia turun tepat di atas garisan gol sebelum melantun masuk ke dalam.

Emir mengangkat tangan kanannya yang digenggam tinggi ke udara. Itu adalah cara dia meraikan gol selama ini. Dia memandang ke arah Cikgu Mad, seolah-olah mengingatkannya akan janji pada tahun lalu. Cikgu Mad tersenyum dan mengangguk, “Cikgu ingat, Emir. Cikgu ingat.”

Sekalipun perlahan tutur Cikgu Mad sebentar tadi, ia dapat didengar dengan jelas oleh Cikgu Naim yang berdiri di sebelahnya. Lebar senyuman Cikgu Naim. Emir merupakan seorang pemain yang sangat luar biasa. Dia benar-benar ingin melihat Emir berjaya. Sebab itulah ketika ini dia tanpa diminta sanggup untuk merakam aksi Emir, sebagai bukti akan bakat Emir.

“Gol! Gol! Gol!” Sekali lagi jeritan tersebut bergema di kawasan padang.

Para penyokong SMKSL benar-benar gembira dengan apa yang mereka saksikan tadi. Peluang mereka untuk meraih kejuaraan peringkat daerah pada tahun ini dilihat semakin cerah dengan pasukan yang diketuai oleh Emir ini.

Namun, dalam kegembiraan tersebut, ada juga individu-individu yang kelihatan tidak senang dengannya. Salah seorangnya adalah Din. Dia duduk di kawasan parking basikal, tidak jauh dari padang latihan pasukan bola jaring, bersama-sama dengan beberapa orang rakannya. Asalnya Din hanya ada satu tujuan sahaja duduk melepak di situ, untuk ‘usha’ Khaleeda..

Rakan-rakannya kerap bertindak selaku ‘kaki report’ akan kemesraan Emir dan Khaleeda yang berjalan pulang berdua selepas waktu sekolah. Ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa cemburu dan tidak puas hati di dalam diri Din. Jadi, dia bercadang untuk menggantikan tempat Emir bermula pada hari ini. Dia yang akan berjalan pulang dengan Khaleeda. Tiada lagi Emir!

“Wei, musuh cinta kau perform betul hari ni,” usik salah seorang rakan Din.

“Tu. Tengok tu. Khaleeda pun tak berhenti pandang Emir dari tadi,” sambung yang lain pula.

“Diamlah!” bentak Din sambil tangannya menolak kasar salah seorang rakan yang mengusiknya sebentar tadi.

“Relaks, bro. Apa hal nak angin tak tentu pasal ni?”

Beberapa orang rakan mereka yang lain bertindak untuk menahan Din dari bertindak keterlaluan. Dia bukanlah baran begitu sebenarnya. Di sekolah, dia memegang jawatan selaku pengawas dan merupakan salah seorang pelajar yang boleh dikategorikan sebagai pelajar tingkatan tiga yang pintar juga. Dia sangat disenangi oleh guru-guru dan rakan-rakan.

Tapi, bila nama Emir dan Khaleeda disebut, dia mula berasa panas hati. Terutamanya jika ada yang membandingkan dia dengan Emir. Pintar? Emir dalam kategori genius. Tampan? Emir tidak kalah dengannya atau mungkin lebih baik lagi. Sukan? Dia jauh ketinggalan.

“Sorry, geng. Aku tak sengaja,” ucap Din.

“Chill, bro. Aku faham. Aku pun salah. Usik kau lebih-lebih.”

“Kau nak kita orang tolong bagi line clear untuk kau tak petang ni?” usul salah seorang rakan Din yang bernama Zaini.

“Line clear macam mana?” Tipulah jika dia kata dia tidak berminat dengan usul tersebut.

Zaini tersengih. “Kau pergi je kat Khaleeda nanti. Tahulah macam mana kita orang nak tolong Emir takde chance punya kali ni.” Rakan-rakan mereka yang lain juga turut tersenyum lebar. Mereka tidak ada masalah dengan Emir dan Emir juga tidak pernah menyusahkan hidup mereka. Namun, sudah menjadi lumrah manusia untuk ada juga rasa iri hati sebegini. Ditambah pula usia mereka yang masih remaja, membawa mereka kepada tindakan yang tidak matang.

Perlawanan diteruskan sehingga ke minit akhir. Pasukan B-15 SMKSL berjaya memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 7-0. Emir menjaringkan lima gol dan melakukan dua bantuan gol buat Aidil. Dia ada bertemu dengan Cikgu Naim selepas perlawanan untuk bertanya apa rancangan Cikgu Naim dengan video yang dirakam sebentar tadi.

“Cikgu cadang nak bukakan akaun Youtube untuk kamu, Emir. Kamu setuju tak?” 

“Youtube? Saya okey je, cikgu. Sebab saya nak ramai orang boleh tengok aksi saya. Mana tahu boleh sampai ke scout pasukan Eropah,” balas Emir sambil tersengih. Malu pula dia khabarkan impiannya itu di hadapan Cikgu Naim.

Cikgu Naim tidak mampu untuk menahan diri dari ketawa. “Kamu nak malu apa? Kalau kamu, confirm akan ada scouts dari luar negara yang akan berminat.”

“Nanti lantik cikgu jadi ejen kamu,” ujarnya lagi separa bergurau. 

Ejen? Menarik juga. Cikgu Naim sendiri tidak menyangka bahawa gurauannya itu akan mengubah hidup dan kerjayanya pada masa hadapan. Emir benar-benar mengambil serius kata-kata Cikgu Naim sebentar tadi. 

Sewaktu mereka berbual, perlawanan untuk pasukan B-18 tahun juga sudah bermula. Kedudukan pada ketika itu terikat 2-2 asbab kesilapan mudah pemain tengah pasukan SMKSL ketika itu yang terlalu banyak terlepas bola kepada pasukan lawan.

“Naim. Kamu rasa Emir boleh ke ganti tempat Syahdan?” tanya Cikgu Mad kepada Cikgu Naim.

“Kejap. Maksud cikgu…” Cikgu Naim membahasakan diri Cikgu Mad dengan gelaran cikgu juga kerana dia merupakan guru muda sedangkan Cikgu Mad sudah berusia 40-an.

“Betul. Saya nak test Emir. Bagi dia main dengan pasukan B-18.”

Senyuman Cikgu Naim melebar. Tidak mustahil jika dikatakan hampir sahaja ke telinga kerana dia benar-benar gembira dan teruja dengan cadangan Cikgu Mad. Bayangkan seorang pemain berusia empat belas tahun bermain di dalam pasukan bawah 18 tahun? 

Jika Emir mampu mempamerkan aksi luar biasanya juga dengan pasukan B-18, ia akan menjadi satu nilai tambah yang luar biasa buat Emir. Semakin banyak pula idea untuk tajuk video Emir nanti. 

“Saya rasa Emir lebih dari boleh, cikgu. Lagipun dia larat lagi tu. Tengok tu.” Jari Cikgu Naim menunjuk ke arah padang kecil di sebelah padang utama. Di padang kecil itu ada dua buah gawang tanpa jaring. Kelihatan Emir sedang melakukan sepakan tepat ke arah palang gol. Crossbar challenge. 

Cikgu Mad ketawa melihat Emir yang sepertinya tidak kenal erti penat. Memang pun. Di dalam padang, dia ada di mana-mana. Dia sangat suka berlari. “Panggil Emir, Naim. Saya nak dia masuk untuk separuh masa kedua nanti.” Cikgu Naim bergegas untuk mengkhabarkan cadangan tersebut kepada Emir.

Emir yang mendengarkan cadangan tersebut berasa sangat teruja kerana dia akan diberikan peluang untuk bermain lagi pada petang tersebut. Pucuk dicita, ulam mendatang. Dengan segeranya dia menukar jersi di tandas Pusat Islam, tandas surau yang lebih dekat dengan padang.

Jika tadi jersi bagi pasukan B-15 SMKSL berwarna hitam berbelang merah, jersi kali ini pula berwarna hitam berbelang biru. Bezanya kali ini dia tidak diberikan lilitan lengan kapten. Dia tidak kisah, asalkan dia boleh bermain bola sepak pada peringkat yang lebih tinggi. 

Rakan-rakan sepasukan B-15 dan juga B-18 serta para penonton terkejut melihat Emir. Rasa tidak percaya terbit di dalam fikiran masing-masing namun tidak dinafikan bahawa mereka juga sangat teruja. Mereka tidak sabar untuk menyaksikan magis sentuhan dan teknik daripada Emir. Tanpa disangka, Emir sudah mempunyai kumpulan peminatnya yang tersendiri.



====








==========

MENGENAI PREORDER


Preorder Kisah Paling Indah ini akan dibuka sehingga 29/2/2024 (11.59 malam).

Postage akan dilakukan selepas 14 hari dari tarikh tutup preorder.




Betul! Saya akan pilih 5 pemenang bertuah untuk diberikan secara percuma sama ada Jilid 1 atau Jilid 2 novel Hikayat Elementalis Purba.


Kalau anda dah ada Jilid 1, saya berikan Jilid 2. Kalau anda belum ada Jilid 1, saya berikan Jilid 1.


Kalau anda dah ada dua-dua? Haa.. Saya bagi RM30 kepada anda. 



MENGENAI NOVEL


Saiz : A5

Muka Surat : Sekitar 400 Muka surat

Patah Perkataan : Sekitar 68,000 Patah perkataan

Cover : Artcard 230 gsm

Binding : Perfect Binding

Harga :  RM29 (PREORDER)

RM35 (READY STOCK - BELUM MULA)

POSTAGE : (Semenanjung +RM8) (Sabah & Sarawak +RM10)


==========

KOMBO DOUBLE JIMAT POSTAGE




Buat anda yang bercadang untuk beli kedua-dua novel di atas, saya ada buat kombo untuk jimatkan postage.


Semenanjung Malaysia, kekal RM8 sekalipun beli dua buah novel.


Sabah & Sarawak, saya cover sebahagian. RM10 untuk satu novel. RM15 untuk dua novel.


NAK BACA PREVIEW UNTUK SISTEM PEMBURU? >>KLIK SINI<<


Terima kasih!