![[EBOOK] Sistem Pemburu - Galaksi Bima Sakti [EBOOK] Sistem Pemburu - Galaksi Bima Sakti](https://novelisdylas.onpay.my/media/forms/20-digitalspgbs-1709713136.jpg)
==========
BACA PERCUMA - BAB SATU
(BOLEH TERUS SKROL KE BAWAH UNTUK PEMBELIAN)
Ngeri. Itulah perasaan para penduduk Bumi pada tahun 2523. Jika masih ada di antara mereka yang hidup sehingga ke hari ini, mereka pasti tidak akan dapat melupakan perasaan mereka pada ketika itu. Mereka juga tidak dapat lupakan apa yang dilihat oleh mata mereka, sebuah meteor bersaiz yang sangat besar, jelas kelihatan di ruang angkasa Bumi.
Kita sendiri pun sudah bertahun-tahun lamanya menerima amaran daripada pakar akan ancaman objek dari angkasa yang dikatakan mempunyai potensi untuk menghentam Bumi. Mujurlah semuanya masih selamat sehingga ke hari ini. Namun, cerita sama tidak berlaku kepada para penduduk Bumi pada tahun 2523. Segala apa yang ditakutkan itu benar-benar berlaku.
Sebuah meteor bersaiz mega telah memasuki ruang angkasa Bumi pada kelajuan yang sangat tinggi. Langit kelihatan terbelah dan mereka yang menyaksikan kejadian tersebut menyangka kiamat sudah berlaku. Ramai yang duduk berlutut dan berdoa, memohon keampunan dan bertaubat. Meteor tersebut jatuh tepat di tengah-tengah kawasan lautan yang dahulunya dikenali sebagai Segitiga Bermuda.
Anda boleh bayangkan betapa besarnya saiz meteor tersebut. Sekalipun sudah mencecah dasar laut, bahagian meteor yang masih kelihatan mencecah ketinggian yang sama seperti Gunung Everest. Besar kan? Sebab itulah ramai yang menyangka kiamat telah berlaku pada ketika itu. Impak hentaman tersebut juga menggegarkan seluruh Bumi. Cahaya berwarna hijau yang kemudiannya disahkan sebagai gelombang radiasi muncul dan melitupi seluruh Bumi. Oh. Ada juga gempa bumi yang berlaku di beberapa kawasan. Ajaibnya, tiada sebarang nyawa yang terkorban. Selang beberapa ketika, barulah kelegaan terpancar pada wajah para penduduk Bumi saat para pemerintah memberikan jaminan tiada lagi bahaya daripada meteor tersebut.
Sehinggalah selepas dua puluh empat jam. Sesuatu yang pelik telah berlaku. Beberapa video mulai tular di internet dan media sosial. Video mengenai individu-individu yang dikatakan tiba-tiba sahaja mempunyai kuasa unik seperti menembak keluar bebola api, mampu berlari laju, terbang di udara, mengawal air di lautan dan beberapa lagi. Pada mulanya, ramai yang menyangka ia hanyalah kesan khas semata-mata. Teknologi pada ketika itu juga sudah sangat maju. Jadi, tidak mustahil untuk mereka menghasilkan video sedemikian. Kemudian, semakin ramai pula yang melaporkan perkara yang sama. Rupanya itulah kesan radiasi meteor. Menyebabkan mutasi dan…evolusi.
Ada yang segera menggunakan kuasa mereka untuk pelbagai jenis tujuan. Individu yang ingin mendapatkan publisiti dan menjadi pempengaruh adalah yang paling ramai. Individu-individu dengan niat jahat juga tidak terkecuali. Ada yang mengaku diri mereka sebagai Tuhan kerana dapat mengawal unsur yang ada di dunia. Ramai juga yang menggunakan kuasa mereka untuk kegiatan jahat dan jenayah. Dunia mengalami huru-hara yang amat dahsyat.
Namun, seperti impian kebanyakan daripada kita sewaktu kecil, jika kita diberikan kuasa yang luar biasa, sudah tentulah kita ingin menjadi wira. Begitu juga dengan generasi pada tahun 2523. Masih ramai yang mempunyai impian sedemikian. Sama ada bergerak solo, berkumpulan atau kesatuan, mereka berusaha untuk membanteras jenayah yang berlaku. Individu-individu ini muncul dengan aneka nama dan semuanya melambangkan keadilan, keamanan dan yang paling penting, impian mereka.
Ketika itu hampir separuh daripada populasi penduduk di Bumi sudah mempunyai kuasa yang luar biasa. Benar. Sesuatu yang tidak pernah kita terfikir akan berlaku. Sesuatu yang hanya wujud di dalam filem, drama, komik dan fiksyen semata-mata. Banyak kajian yang dilakukan oleh pakar untuk mencari punca dan sekiranya wujud kesan sampingan. Dalam kesibukan kajian dan penyelidikan, muncul pula ancaman baru. Kali ini bukanlah dari manusia.
Meteor tersebut mengeluarkan radiasi yang mengubah struktur kebanyakan hidupan. Separuh daripada setiap spesis hidupan baik di lautan, daratan mahupun di udara di Bumi mengalami mutasi dan transformasi. Begitu juga dengan separuh daripada segala objek yang ada di Bumi. Perkara ini membuatkan manusia tidak dapat bertindak dengan segera untuk beradaptasi dengan apa yang berlaku.
Serangga dan haiwan mengalami mutasi dan berubah secara perlahan-lahan. Bermula dengan peningkatan saiz sebelum ke peningkatan kekuatan dan akhirnya mengalami peningkatan intelek. Mereka mampu berfikir dan berkomunikasi sama seperti manusia malah ada yang lebih hebat lagi. Tidak salah juga untuk katakan mereka sekarang ini mempunyai kekuatan dan keupayaan haiwan namun dikuatkan lagi dengan keupayaan intelek sama seperti manusia. Bagi manusia, spesis-spesis ini bukan lagi spesis yang mereka kenali sebelum ini. Spesis-spesis ini kini digelar sebagai raksasa, ancaman terbaru yang jauh lebih berbahaya.
Kesannya, mula berlaku rusuhan dan serangan daripada raksasa-raksasa ini terhadap petempatan manusia. Serangan mereka juga tersusun dan berstrategi. Setiap tentera raksasa mempunyai peranan mereka yang tersendiri sama seperti organisasi dan strategi perang yang digunakan oleh manusia selama ini. Kampung-kampung kecil pada mulanya menjadi sasaran sebelum mereka bergerak ke pekan dan akhirnya bandar-bandar besar. Kebanyakan kawasan yang diserang, diambil alih oleh mereka. Selebihnya, mereka musnahkan tanpa sebarang sisa. Manusia pula ada yang ditangkap oleh mereka untuk dijadikan sebagai hamba.
Tidak cukup dengan itu, tumbuh-tumbuhan juga turut melalui proses mutasi dan transformasi yang serupa. Kini, struktur kuasa di Bumi sudah berubah sepenuhnya dan sebahagian kawasan atau negara telah dikuasai oleh spesis hidupan yang berbeza. Bumi tidak lagi seperti dahulu. Tidak lagi seperti apa yang kita nikmati hari ini. Semuanya sudah jauh berbeza. Disebalik segala kuasa dan kemajuan teknologi yang dikecapi oleh manusia, keamanan pula menjadi sesuatu yang agak sukar untuk dirasai dan dinikmati.
Objek, mesin atau artifak juga tidak terkecuali dari mengalami mutasi. Tiba-tiba sahaja muncul objek atau mesin yang ‘hidup’ dan bertindak seperti raksasa sekaligus menyebabkan peperangan mula berlaku di antara semua spesis yang ada. Azabnya buat manusia, kebanyakan spesis ini memilih untuk bekerjasama bagi menghapuskan manusia. Ketika inilah manusia sebulat suara untuk melawan semula spesis yang ada dan menggelarkan diri mereka sebagai…Pemburu!
***
Ketika ini, di sebuah bandar yang sangat maju, di dalam sebuah pejabat yang serba mewah, kelihatan seorang individu bertubuh tegap dengan pakaian tentera sedang melaporkan sesuatu kepada seorang individu yang sedang duduk di kerusi, membelakangkannya. Tidak jauh dari mereka, seorang gadis muda sedang berdiri dan bertindak sebagai pemerhati.
“Tuan Yara, semakin banyak negara yang tumbang. Raksasa nampaknya semakin menggila,” ujar Jeneral Darian.
Yara, salah seorang individu dengan kuasa yang dikatakan sebagai di antara yang terkuat di Bumi pada ketika ini, duduk memandang ke arah luar dari tingkap kaca pejabatnya di tingkat 100. Pejabat ini terletak di tengah-tengah bandar metropolitan yang dahulunya dikenali sebagai New York, namun kini dikenali sebagai New Hope. Bandar yang dikatakan sebagai harapan baru buat dunia. Memang begitu sikap tipikal penduduk di negara tersebut, dari dulu lagi mereka rasakan dunia berkisar di sekeliling mereka.
“Biarkan. Aku tidak pernah peduli dengan negara-negara lain. Diserang, musnah atau aman, bukan urusan aku.”
“Tapi…”
“Sudah! Jika ada penduduk dari negara-negara tersebut yang melarikan diri ke Hope, benarkan mereka dengan potensi dan gred kuasa minimum A sahaja untuk masuk. Yang lain… macam biasa,” arah Yara.
Jeneral Darian terkelu. Sekalipun dia mempunyai kedudukan kedua tertinggi selepas Yara di negara Hope, nama baru Amerika Syarikat, dia langsung tidak mempunyai kuasa untuk memberikan sebarang pandangan atau arahan. Arahan Yara adalah mutlak. Patuh atau mati. Selepas 500 tahun, manusia juga menjadi semakin hebat dalam menggunakan kuasa mereka. Gred kuasa juga dikelaskan kepada beberapa gred bermula daripada gred terendah iaitu E sehinggalah gred terkuat iaitu SSS. Yara merupakan di antara individu yang memiliki gred kuasa SSS. Kuasanya? Tidak ramai yang tahu.
“Baiklah, Tuan Yara.” Jeneral Darian memberikan tabik hormat sebelum mengundurkan diri, keluar dari ruang pejabat Yara. Entah ke mana perlu dia pergi, dia sendiri tidak tahu. Dia cuma perlu menyampaikan arahan Yara kepada orang-orang bawahannya.
“Tuan Yara, kenapa tuan tidak ingin menggunakan kesempatan ini?” soal Aira, gadis cantik yang bertindak sebagai pemerhati sahaja sejak tadi. Dia memiliki paras rupa yang sangat rupawan. Di tangannya, dipegang sebuah peranti seperti tab. Dia sedang memastikan dirinya sentiasa peka dengan situasi terkini yang sedang berlaku di dunia dan melaporkannya kepada Yara.
“Maksud kau?” soal Yara. Pada wajahnya terukir sebuah senyuman penuh makna. Dia masih membelakangkan sesiapa sahaja yang berbicara dengannya. Pandangannya masih lagi terarah ke luar. Apa yang dapat dilihat hanyalah susuk tubuhnya yang tegap dan tidaklah terlalu besar. Jauh berbeza dengan Jeneral Darian yang bertubuh seperti seorang pahlawan.
“Bukankah kita boleh gunakan kesempatan ini untuk mendapatkan sumber daripada negara-negara yang diserang ini sebagai balasan untuk bantuan daripada Hope?”
“Balasan? Hahaha!” Yara ketawa besar.
“Tak perlu tunggu mereka di dalam masalah. Bila-bila masa sahaja aku boleh paksa mereka untuk berikan sumber mereka kepada kita,” sambung Yara sambil tersenyum sinis.
“Tapi bukankah lebih baik jika dilakukan sebegitu untuk imej Hope?” sangkal Aira. Dalam kesemua orang bawahan Yara, hanya Aira sahaja yang berani untuk membantah atau mengutarakan pandangan. Peliknya, Yara sedikit pun tidak melenting. Aira sedikit istimewa pada matanya. Sekalipun bertindak sebagai pembantu peribadi Yara, Aira merupakan di antara individu yang mempunyai gred kuasa yang agak tinggi, sama seperti Yara. Perkara ini hanya diketahui oleh Yara dan Jeneral Darian sahaja.
“Aira, kau perlu tahu satu perkara. Imej sekarang ini hanya dilambangkan oleh kuasa dan kekuatan. Soal kedua-dua ini pula, siapa lagi yang mempunyai imej yang lebih baik daripada Hope?” Kata-kata Yara ini kemudiannya diiringi dengan ketawa besar.
Aira kekal terpaku di posisinya sejak tadi. Sedang memproses bicara Yara. Dia sendiri tidak tahu apa yang paling tepat dengan keadaan dunia seperti hari ini. Keamanan? Tanpa kekuatan, tidak akan ada keamanan. Kemanusiaan? Ada terlalu banyak perkara lain yang perlu difikirkan oleh setiap manusia sekarang ini. Mereka risau mereka tersilap langkah seperti apa yang negara mereka lakukan pada 450 tahun yang lalu. Sentiasa ingin tampil sebagai ‘wira’ buat manusia. Negara mereka dengan pantasnya menghantar individu-individu dengan kuasa luar biasa untuk membantu negara lain yang diserang oleh raksasa.
Siapa sangka raksasa terlalu licik. Semua itu hanyalah perangkap buat negara mereka. Saat bantuan daripada negara mereka tiba, mereka telah dikepung dari segenap sudut. Separuh daripada kekuatan mereka dihapuskan dalam sekelip mata. Peluang ini digunakan oleh raksasa untuk menyerang Amerika Syarikat. Nasib mereka baik kerana ketika itulah munculnya Yara, dengan kuasa luar biasa miliknya, mematahkan serangan raksasa dengan mudah. Kejadian itu jugalah menjadi titik tolak peralihan kuasa negara kepada Yara sebelum ditukarkan nama menjadi negara Hope.
“Kau tak perlu fikir lagi. Lebih baik kau habiskan latihan dan bantu aku melaksanakan rancangan kita yang sudah lama tertangguh.”
“Baiklah, Tuan Yara.” Nadanya separa mengeluh. Memang begitulah pengakhiran setiap perbualan mereka. Yara pasti akan sentiasa ingatkannya mengenai rancangan mereka. Rancangan yang dia sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Malas untuk berlama-lama di pejabat Yara, dia segera melangkah keluar meninggalkan Yara sendirian.
“Tak habis-habis latihan dan rancangan,” bebel Aira sendirian. Yara merupakan salah seorang daripada ‘orang tua’ di dalam Keluarga Martinez. Aira yang turut datang daripada keluarga tersebut sejak dari kecilnya telah menghabiskan masa untuk latihan semata-mata. Latihan yang langsung tidak sesuai untuk kanak-kanak. Lebih sesuai buat mereka yang ingin menjadi pembunuh upahan. Latihan yang membentuk hati dan sikap mereka menjadi sangat dingin.
Langkahnya terhenti saat dia sampai di hadapan sebuah pintu besar yang diperbuat daripada besi. Di sebalik pintu ini merupakan kawasan yang sungguh luas dengan teknologi yang tidak pernah dilihat oleh manusia seribu tahun yang lalu. Bukan itu sahaja. Ia juga merupakan kawasan yang penuh dengan kezaliman. Dia menarik nafas dalam sebelum menghembusnya. Dia bakal melakukan rutin harian yang semakin lama semakin membebankan. Matanya memandang tepat ke arah sebuah pengimbas yang memancarkan cahaya pengimbas sebelum mengesahkan identiti Aira sebagai salah seorang individu yang diberikan akses ke kawasan tersebut.
“Selamat petang, Aira,” sapa satu suara lembut. Pemiliknya adalah seorang wanita berusia sekitar 30-an yang mengenakan pakaian latihan daripada latex.
“Selamat petang, Jen,” balas Aira.
“Sudah sedia untuk latihan hari ini?”
Aira mengangguk. Dia menekan bahagian sisi cincin yang dipakai pada jari kelingking di tangan kanannya. Serta-merta tubuhnya dilitupi oleh cahaya berwarna biru dan pakaiannya berubah daripada pakaian formal menjadi pakaian latihan yang sama seperti Jen.
“Sedia?” ujar Jen, segera mengambil posisi untuk bertempur. Tanpa menunggu balasan daripada Aira, Jen segera menerpa ke arahnya.
Aira sekalipun diserang secara mendadak, langsung tidak terkejut. Satu sepakan kencang dilepaskan ke bahagian kiri tubuh Aira. Sepakan tersebut sangat deras namun berjaya dielak dengan mudah oleh Aira. Semua ini disebabkan oleh kuasa milik Aira iaitu kelajuan luar biasa baik dari segi otot atau refleks miliknya. Dia mampu berlari sejauh seratus meter dalam masa setengah saat! Dia juga mampu mengelak peluru yang dilepaskan sekitar 5 cm dari dahinya dengan mudah!
Jen tersenyum bangga kerana kali ini dia telah menggunakan sekitar 60% daripada kekuatan miliknya di dalam sepakan yang dilepaskan sebentar tadi. Jen merupakan seorang Pemburu Elit, dengan gred kuasa S. Tahap Jen masih jauh untuk dicapai oleh Aira. Namun apa yang dilakukan oleh Aira sekarang ini jauh mengatasi apa yang mampu dilakukan oleh mereka seusia. Sekalipun begitu, Jen melepaskan serangan bertali arus ke arah Aira. Kuasa milik Jen adalah manipulasi saiz mana-mana anggota badannya. Kali ini dia melepaskan sebuah penumbuk dengan diameter melebihi 50 meter.
Boom!
Sebaik sahaja penumbuk gergasi tersebut singgah ke tempat Aira berdiri sebentar tadi, debu berkepul-kepul naik ke udara dan menyukarkan pandangan. Kali ini Jen menggunakan sekitar 70% kuasanya. Dia ingin menguji sejauh mana kekuatan dan keupayaan Aira telah meningkat. Senyumannya menjadi lebih lebar saat kelihatan bayang susuk tubuh Aira berjalan tenang ke arahnya. Aira berjaya mengelak serangan tadi dengan sangat mudah dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kemajuan dan keupayaan Aira sudah jauh melangkaui jangkaan Keluarga Martinez!
BACA PERCUMA - BAB DUA
Berita sejak beberapa hari kebelakangan ini benar-benar membuatkan manusia berasa tidak tenang. Entah mengapa serangan daripada raksasa semakin rancak dan ganas. Semakin banyak negara dan kawasan petempatan manusia diserang. Peliknya, manusia seperti tidak mampu untuk mempertahankan negara mereka. Begitu mudah sekali raksasa menyelinap masuk dan menghapuskan manusia dari dalam. Ramai juga Pemburu hebat kehilangan nyawa dalam serangan kali ini. Menjadikan kekuatan manusia semakin berkurang.
“BERITA TERGEMPAR! Kawasan persisiran pantai di seluruh negara kini menerima ancaman daripada Jerung Hitam. Para penduduk dinasihatkan supaya menjauhi kawasan persisiran pantai buat sementara waktu.”
“LAPORAN TERKINI! Kumpulan pengganas Gagak Biru cuba untuk memasuki ruang udara Valoria. Namun, ancaman mereka berjaya dihapuskan oleh Pemburu Elit Fergus.”
“Amaran serangan di sempa–”
Elion mematikan televisyen menggunakan isyarat tangannya. Dia yang sedang duduk di sofa berasa tertekan pula melihatkan berita-berita yang disiarkan. Sepanjang 18 tahun usianya, penduduk Bumi terutamanya para manusia sukar untuk mencari kedamaian dan keamanan. Sekarang ini hampir setiap hari manusia menerima ancaman serangan daripada raksasa. Raksasa telah mengambil alih terlalu banyak negara dan menggelarkan negara mereka sebagai empayar. Ada beberapa spesis haiwan yang telah melalui mutasi dan evolusi menjadi spesis yang tidak ada bezanya dengan haiwan-haiwan mistik di dalam cerita dongeng atau legenda seperti naga, griffin, kraken, hydra dan lain-lain.
Empayar yang dibangunkan oleh raksasa-raksasa ini menjadi ancaman utama buat manusia. Jika dibandingkan dengan spesis lain, mereka mempunyai kekuatan yang jauh lebih kuat. Wujud juga dalam kalangan raksasa, bijak pandai yang mampu menghasilkan teknologi untuk menyaingi teknologi manusia. Ditambah pula mereka juga turut mempunyai kuasa luar biasa sama seperti manusia, menjadikan mereka bukanlah musuh yang mudah untuk ditangani. Daripada ratusan negara yang wujud sekitar seribu tahun lalu, kini yang tinggal tidak lebih daripada tiga puluh buah negara sahaja. Kebanyakannya juga sudah mengubah nama mereka menggunakan nama baru dan lokasi, sebagai tanda kebangkitan semula mereka.
Elion dan keluarganya tinggal di sebuah negara yang diberi nama Valoria. Negara yang dibina di sempadan runtuhan beberapa buah negara di Eropah. Sukar untuk kita pada hari ini tentukan di mana sebenarnya duduk letak lokasi ini kerana banyak juga perubahan dari segi demografi yang telah berlaku. Semua ini kesan peperangan di antara spesis-spesis di dunia.
“Bilalah Bumi ini akan kembali aman?” soal Elion, tidak ditujukan kepada sesiapa. Hanya soalan yang ditanyakan kepada dirinya sendiri dan dia sendiri tidak tahu sama ada akan ada atau tidak jawapan yang ingin didengarnya. Untuk kembali aman, mustahil untuk semua spesis mencapai kata sepakat. Hanya ada satu cara sahaja. Satu spesis mendominasi semua spesis lain yang ada. Namun sudah tentu akan ada lebih banyak peperangan, kemusnahan dan kehancuran. Akan ada lebih banyak nyawa yang terkorban di semua pihak.
Dia masih ingat lagi beberapa tahun yang lalu, dia ada terbaca sebuah buku sejarah. Antara petikan kata-kata raksasa yang menyebabkan mereka menyerang manusia adalah, “Semua ini adalah balasan di atas segala bentuk kemusnahan yang telah dilakukan oleh manusia. Kini, giliran kami untuk membalas dendam!”
Entah apa yang dilakukan oleh nenek moyang manusia sebelum ini. Sehinggakan raksasa memilih untuk membalas dendam dan memilih jalan penuh dengan kehancuran serta kemusnahan. Elion sudah malas untuk menyerabutkan kepalanya memikirkan perkara tersebut. Dia segera menyarungkan kasut, bersedia untuk melakukan rutin hariannya.
“Elion, kamu hendak ke mana?” laung Puan Elis dari dalam rumah.
“Macam biasa, ibu,” balas Elion.
“Ingat! Jangan pergi ke Zon Kuning!” pesan Puan Elis namun sia-sia kerana Elion sudah mula berlari keluar. Entah dengar atau tidak pesanan ibunya itu. Memang begitu rutin harian Elion, melakukan latihan kecergasan dengan berlari ke Bukit Rumera yang terletak di pinggir Bandar Rumera. Dia sendiri lupa sudah berapa tahun dia melakukan aktiviti ini di samping beberapa aktiviti fizikal lain untuk membina kekuatan. Dia tidak sama seperti ahli keluarganya yang lain.
Dia…tidak mempunyai kuasa.
Separuh daripada segala apa yang ada di Bumi telah mengalami mutasi dan berevolusi lima ratus tahun yang lalu. Separuhnya lagi kekal seperti apa sebelumnya. Selepas ratusan tahun berlalu bagi manusia, jika ibu dan bapa merupakan pasangan yang mempunyai kuasa luar biasa, sudah terjamin zuriat mereka juga akan mempunyai kuasa luar biasa juga. Namun perkara itu tidak berlaku kepada Elion. Bagi kebanyakan manusia, usia di antara lima dan sepuluh tahun adalah usia kebanyakan mereka membangkitkan kuasa. Ada juga yang lebih awal. Lebih awal, lebih besar potensi yang ada pada diri mereka.
Itulah apa yang berlaku kepada abang dan kakak Elion. Abangnya berjaya membangkitkan kuasa pada usia dua tahun manakala kakaknya pula pada usia tiga tahun. Jangkaan yang sama juga diletakkan terhadap Elion. Dari usianya dua tahun sehingga lima tahun, mereka masih mengharapkan kebangkitan kuasa Elion. Layanan mereka masih baik terhadapnya kerana ibu dan bapanya juga merupakan di antara individu yang disegani di Bumi. Sejak usia enam tahun, segalanya berubah. Semakin banyak cemuhan yang diterimanya. Semakin banyak hinaan yang diberikan. Ada satu kejadian yang berlaku sewaktu Elion berusia tujuh tahun yang dia masih ingat dengan jelas sehingga hari ini.
“Memalukan!” jerit Agustin. Dia kini berada di dalam sebuah kawasan latihan yang sangat luas bersama-sama dengan Elion, Elis dan bapa Elion, David. Agustin adalah datuk kepada Elion, bapa kepada David. Di Bumi, dia memegang status yang sungguh luar biasa dan sangat berpengaruh. Dia merupakan salah seorang daripada tujuh manusia yang bergelar Pemburu Legenda, manusia terkuat di Bumi. Tubuh Elion pada ketika itu menggigil ketakutan. Itu adalah kali pertama dia melihat Agustin marah sedemikian rupa. David hanya memandang ke arah Agustin. Elis pula berusaha untuk menenangkan Elion. Dia kenal benar perangai Agustin. Terlalu mementingkan imej keluarga mereka, Keluarga Hayes.
“Sabar, ayah. Mungkin Elion sedikit terlewat berbanding yang lain. Berikanlah dia masa,” ujar David.
“Sedikit lewat? Dia sudah tujuh tahun! Jika tahun ini pun dia masih belum mampu membangkitkan kuasa, kau rasa potensinya akan mampu untuk membawa nama keluarga kita?!” bentak Agustin.
David terdiam. Dia menarik nafas dalam, cuba untuk mengawal perasaannya. Di hadapannya ini adalah bapanya, insan yang sangat dihormatinya. Di sebelahnya pula adalah Elion, anak yang sangat disayanginya.
“Aku tak kisah kalau dia bangkitkan kuasa seperti kau sekalipun, David. Tapi sekarang, lebih besar kemungkinan untuk dia menjadi manusia biasa atau manusia yang mempunyai kuasa dengan potensi yang sangat rendah. Memalukan keluarga kita dan hanya akan menjadi makanan raksasa sahaja!” Sekali lagi Agustin melepaskan kemarahannya.
“Cukup!” jerit David. Dalam masa yang sama, dia turut melepaskan aura dari tubuhnya. Aura yang sangat mengerikan. Jauh bezanya dengan perwatakan David yang lebih kepada cendekiawan. Tubuhnya tidaklah seperti Agustin yang lebih kepada tubuh seorang pahlawan. Tubuh David pula persis seorang atlet profesional. Aura tersebut juga berjaya dikawal dengan sempurna oleh David. Ia hanya ditujukan ke arah Agustin. Sedikit pun tidak memberikan kesan terhadap Elion dan Elis. Agustin sedikit terkejut. Dia tidak menyangka David mampu memancarkan aura sebegini.
Sekalipun David adalah anaknya, dia tidaklah begitu bangga dengan kuasa yang dimiliki oleh David. Hal ini kerana David hanya mempunyai kuasa dalam bentuk keupayaan intelek yang sangat luar biasa sahaja. Manakala Agustin pula merupakan salah seorang daripada lima individu dengan kuasa kekuatan luar biasa. Ryan, abang kepada Elion turut mempunyai kuasa yang sama dan hanya mereka berdua daripada lima individu ini yang mempunyai gred kuasa SSS. Sebab itulah dia lebih berbangga dengan Ryan, cucunya berbanding David sekalipun gred kuasa David juga adalah SSS.
Keupayaan intelektual? Bijak? Sekali ditumbuk, pasti berkecai tubuh orang-orang bijak ini. Itulah apa yang ada di dalam fikirannya selama ini. Tiada apa yang mampu mengatasi kekuatan mutlak. Cuma David jauh berbeza dengan mereka yang mempunyai keupayaan yang serupa. Dia…lebih bijak? Atau memiliki keupayaan intelektual yang tidak seharusnya ada pada seorang manusia? Tiada siapa yang mampu memberikan jawapan yang paling tepat. Apa yang pasti, kebanyakan teknologi yang digunakan oleh manusia pada hari ini adalah hasil ciptaan David. Negara Valoria terutamanya, mendapat manfaat yang paling besar.
David telah menggunakan kelebihan miliknya untuk meningkatkan keupayaan setiap individu di Valoria yang mempunyai kuasa dengan teknik kawalan, penguasaan, menghasilkan teknologi menggunakan teras raksasa, menaikkan keupayaan ketenteraan dengan beberapa kelengkapan berteknologi tinggi dan banyak lagi. Sumbangannya itu telah membuatkan statusnya di Bumi setara dengan Pemburu Legenda. Sekalipun begitu, dari segi kekuatan, dia belum menerima pengiktirafan yang sama.
“Kau…tinggi…suara dengan aku?” soal Agustin dalam nada yang sangat keras. Penumbuknya digenggam dengan sangat kuat. Urat timbul dengan jelas pada tangan Agustin.
“Saya hormat ayah. Tapi…Elion anak saya. Dia ada kuasa atau tidak, saya tidak akan benarkan sesiapa menghina dia,” bicara David terhenti seketika, “Termasuklah ayah.”
Nada David sangat tenang namun tidak auranya. Auranya sedang menggila. Sesuatu yang sudah lama Agustin tidak rasakan. Aura yang sama seperti dia sedang berhadapan dengan Pemburu Legenda yang lain dan ketua-ketua spesis lain. Tapi, Agustin dapat rasakan aura David lebih mirip aura Draconius, Ketua Naga. Aura yang pernah membuatkan dia menggigil suatu ketika dahulu sebelum kuasanya mencapai tahap seperti hari ini.
“Nampaknya kau dah semakin bongkak dengan kemasyhuran yang kau miliki,” ujar Agustin.
Dia melangkah perlahan ke arah David. Selaku bapa, dia agak tercabar dengan tingkah laku David ketika ini. Namun, tiada salahnya juga di pihak David kerana dia merupakan bapa kepada Elion. Sudah menjadi tanggungjawab seorang bapa untuk mempertahankan keluarga.
“David…” panggil Elis. Elion kini berada di dalam pangkuan Elis. Dia memeluknya erat dan bersedia untuk melarikan diri jika berlaku sesuatu di luar kawalan. Sebagai seorang individu dengan kuasa aerokinesis, kuasa mengawal angin, dia sangat yakin dengan kelajuannya sekalipun berhadapan dengan Agustin. Dia sedikit pun tidak takut. Kerisauannya hanyalah pada Elion. Elion masih kecil. Sedikit kesilapan, akan membuatkan tubuh dan mental Elion terjejas.
David memandang Elis. Dia menghadiahkan sebuah senyuman yang amat manis, tanda Elis tidak perlu risau akan apa-apa. David menggerakkan tangannya ke arah kepala tali pinggang yang dipakainya ketika ini. Tali pinggang tersebut berfungsi sebagai ruang simpanan antara dimensi. Saat disentuh, muncul empat biji bebola logam, terapung di hadapannya sebelum dia mencapai kesemua bebola logam tersebut.
“Saya akan ‘main’ ikut cara ayah. Tapi, izinkan saya ambil beberapa langkah keselamatan terlebih dahulu. Saya tak nak tiba-tiba kawasan ayah ini musnah.” Usai berbicara, kesemua bebola logam dilontarkan ke empat penjuru berbeza. Sebaik sahaja ia selesai bergolek, sebuah medan tenaga muncul. Saiznya cukup besar untuk ‘permainan’ Agustin dan David sebentar nanti. David memberikan isyarat kepada Elis untuk membawa Elion keluar dari medan tenaga tersebut. Lebih selamat. Elion ketika ini menyaksikan setiap apa yang berlaku tanpa terlepas walau satu pun pergerakan. Dia sudah lama ingin menyaksikan kehebatan Agustin, Pemburu Legenda. Peluang sebegini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dia dapatkan. Namun ketika ini dia lebih berminat untuk menyaksikan ayahnya, David beraksi.
Agustin tersenyum sinis, “Kau ingat mainan bodoh kau mampu menahan kuasa aku?”
David tersenyum sebelum membalas, “Kuasa bukan segala-galanya, ayah. Hari ini saya akan buktikannya. Tapi…”
“Tapi apa? Kau nak berunding apa lagi?”
“Kalau ayah kalah, jangan sesekali menghina Elion lagi.”
“Baik! Baik! Biar aku buka mata kau. Tanpa kuasa, anak kau hanya akan menjadi beban kepada manusia!” jerit Agustin. Dia berlari laju ke arah David. Dengan kekuatan luar biasanya, dia mampu meningkatkan keupayaan ototnya tanpa batas. Setiap inci tubuhnya adalah senjata. Tangannya digenggam erat membentuk penumbuk. Dari rupa dan saiz penumbuk Agustin saja pun sudah dapat diagak kuasa pemusnah yang ada padanya. Dia menghayun tumbukan tersebut sepenuh tenaganya. Tindakan Agustin membuatkan David sedikit terasa. Begitu tega sekali Agustin. Dia sedikit pun tidak risau sekiranya kuasa yang digunakan akan mencederakan David, anaknya. Kali ini David tekad. Dia tidak akan menyembunyikan kekuatannya lagi. Tangan David digenggam erat, turut membentuk sebuah penumbuk. Sebuah kumbang robotik bergerak dari lengan bajunya ke arah tangan yang digenggam. Serta-merta kumbang robotik tersebut berubah bentuk dan melitupi seluruh lengan kanan David menjadi sebuah tangan robotik. Tumbukan Agustin disambut tanpa sedikit pun rasa takut.
Bang!
Satu dentuman yang membingitkan telinga kedengaran. Disebabkan oleh kewujudan medan tenaga, bunyi dan impak yang diterima Elion tidak sedikit pun membahayakan dirinya. Sepertinya medan tenaga itu memang dihasilkan untuk melindunginya.
“Hebatnya ayah,” ujar Elion.
Dia tergamam. Selama ini dia hanya kerap melihat rakaman pertempuran Agustin, datuknya yang bergelar Pemburu Legenda. Sangkanya, dalam keluarga mereka, hanya Agustin sahaja yang kuat. Oh. Itu kalau tidak dikira potensi abangnya, Ryan dan kakak sepupunya, Melinda. Mereka dikatakan paling berpotensi untuk mencapai tahap Pemburu Legenda. Sekarang, buat pertama kali dalam hidupnya dia melihat keupayaan tempur milik bapanya. Apa yang lebih mengagumkan, David sedikit pun tidak terkesan dengan kekuatan milik Agustin. Kekuatan luar biasa Agustin memudahkannya mendaki tangga sosial dan menjadi salah seorang Pemburu Legenda. Jauh berbeza dengan David yang hanya mempunyai kuasa dalam bentuk intelek.
“Mainan kau mampu bertahan selama mana? Boleh ke tahan satu lagi serangan?” perli Agustin.
David hanya tersenyum. Seekor lagi kumbang robotik bergerak ke arah belakang tubuhnya dan membaluti bahagian torsonya. Bahagian tersebut juga menjadi robotik. Dari penumbuk, ditukar menjadi cengkaman, mencengkam penumbuk Agustin. David mengangkat tubuh Agustin hanya dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Tubuh tegap Agustin dihayun ke sisi dengan mudah.
Siapa sangka hayunan sebegitu sahaja sudah mampu untuk melayangkan tubuh Agustin jauh sehingga menghentam medan tenaga. Medan tenaga itu juga turut mencuri perhatian Elion. Ia tidak sedikit pun terjejas dengan impak pertempuran yang berlaku. Jelas sekali bahawa bapanya bukan biasa-biasa. Namun kenapa bapanya tidak mensasarkan untuk menjadi Pemburu Legenda dengan kekuatan yang dimilikinya? Persoalan itu masih lagi bermain di dalam minda Elion sehingga ke hari ini.
Kelibat Agustin kelihatan sedang bangun secara perlahan-lahan. “Bagus! Bagus! Aku tak sangka selama ini kau sembunyikan keupayaan kau sebegini.”
Kata-katanya diiringi dengan ketawa garau namun dalam nada yang sangat gembira. Mana mungkin seorang bapa tidak bangga dengan pencapaian anaknya. Selama ini dia menyangka kuasa David hanya biasa-biasa. Hari ini, mata dan fikirannya sudah dibuka. Kebijaksanaan juga mampu menjadi sebuah senjata yang berbahaya. Jauh lebih bahaya berbanding kekuatan atau mana-mana kuasa.
“Berapa peratus anggaran kekuatan yang kau gunakan sekarang ini?” soal Agustin. Dia memang sangat gila bertempur. Sebab itulah soalan ini diutarakan. Dia ingin David menggunakan kuasa penuh sewaktu bertempur dengannya.
“Sekitar 15 peratus sahaja,” balas David, tersenyum. Dia juga kagum dengan apa yang mampu dihasilkan olehnya. Sudah lama dia ingin menguji sejauh mana kekuatan teknologi yang dibangunkannya. Siapa sangka ia mampu memberikan kekuatan yang setara dengan Agustin.
Semakin melebar senyuman Agustin. Baru 15 peratus? Patutkah aku paksa dia tunjukkan kekuatan pada tahap 100 peratus? Kegilaan tempur Agustin memuncak membayangkan kepuasan yang bakal dinikmatinya sekiranya bertempur pada kuasa penuh.
“Saya faham apa yang ayah sedang fikirkan. Tapi saya terpaksa tolak. Besar kemungkinan ayah akan…” David memberhentikan bicaranya sebentar. Wajahnya kelihatan sangat serius ketika ini. Matanya merenung tajam ke arah Agustin sebelum menyambung, “…Mati.”
Entah mengapa saat ini terasa seram sejuk tubuh Agustin. Peluh dingin muncul pada dahinya. Sudah lama dia tidak mengalami sensasi sebegini. Ditambah pula datangnya dari individu yang langsung tidak disangkanya. Selama ini dia dan mereka yang lain menyangka kuasa David hanya mampu untuk menjadikan dia sebagai ‘otak’ di dalam mana-mana organisasi. Tidak pernah mereka sangka bahawa David juga mampu untuk mempunyai kekuatan tempur setanding Pemburu Legenda. Jika perkara ini diketahui umum, ia boleh menjadi kelebihan dan kekurangan buat Valoria. Kelebihannya, mereka mempunyai seorang lagi individu setanding Pemburu Legenda. Kekurangannya, negara dan empayar lain pasti akan berpakat untuk menyerang Valoria. Mereka tidak boleh membiarkan mana-mana negara lebih kuat berbanding negara lain.
“Ayah ingat janji ayah tadi?” soal David. Nadanya dingin. Tidak seperti biasa. Agustin sedikit terpempan dengan soalan dan nada David. Sedikit kekesalan timbul dan jelas kelihatan pada raut wajahnya kerana terlalu memandang rendah David dan menghina Elion. Entah-entah Elion juga sama seperti David. Belum membangkitkan kuasa namun mempunyai potensi yang jauh melangkaui jangkaan manusia. Bumi bukan lagi seperti dahulu. Dia tidak boleh menilai segalanya dengan pandangan kolot sebegitu.
“Baiklah. Aku tak akan memperlekeh Elion lagi. Aku juga tidak sangka selama ini kau sengaja menyembunyikan kemampuan dan kekuatan sebenar kau,” balas Agustin.
“Dengan kuasa yang kau ada, kau pastinya boleh menjadikan Elion ‘sesuatu’, bukan?” sambung Agustin dengan soalan. Kali ini nada Agustin sedikit menduga. Entah apa yang dimaksudkan olehnya, Elion sendiri tidak faham. Dia baru berusia 7 tahun ketika itu.
“Untuk itu, ayah tak perlu risau. Dia anak saya. Dia tanggungjawab saya.” David memetik jarinya. Dalam sekelip mata tangan dan bahagian torso robotik miliknya berubah menjadi kumbang robotik semula dan berjalan masuk ke dalam kepala tali pinggang miliknya.
“Satu lagi, ayah. Saya harap ayah boleh rahsiakan apa yang berlaku hari ini. Ayah pun tahu kan, saya tak suka perhatian media,” pesan David sambil berjalan membelakangkan Agustin. Tangannya digerakkan beberapa kali. Medan tenaga yang dihasilkan oleh bebola magnet menghilang sebelum kesemua bebola magnet tersebut terbang ke arahnya semula.
David mendapatkan Elion dari pangkuan Elis. Dia kemudiannya memimpin tangan Elis, meninggalkan Agustin sendirian. Sejak dari itu, Elion sudah tidak melihat bapa dan datuknya itu bertegur sapa seperti biasa. Mungkin David masih terasa dengan apa yang dilakukan oleh Agustin. Sebarang majlis keramaian keluarga besar mereka, David memilih untuk tidak menyertainya. Tiada alasan diberikan. Ahli keluarga Elion yang lain sahaja yang akan datang dan Agustin juga tidak menanyakan perihal anaknya itu.
Dah 11 tahun berlalu, aku masih lagi begini. Tiada tanda-tanda kuasa aku akan dibangkitkan. Ketika ini Elion sedang duduk memandang langit dari puncak Bukit Rumera. Memang itulah pemandangan hariannya setiap kali selesai melakukan larian dari rumah ke Bukit Rumera. Jaraknya sejauh 15 kilometer.
Dia melabuhkan tubuhnya ke atas tanah, berbantalkan lengan yang diletakkan di belakang kepala, dia berbaring. Kalau aku diberikan pilihan untuk memiliki kuasa, kuasa apa yang aku nak? Kuasa seperti Ryan? Tapi akan sama dengan datuk. Kuasa seperti ayah? Sekarang sebab aku kurang cerdik, jadi, aku tak nampak macam mana nak gunakan kuasa itu seperti ayah. Elion tersenyum sendiri memikirkan bagaimana jika dia sebenarnya mempunyai kuasa seperti ayahnya juga. Dengan akal dan fikirannya sekarang ini, dia rasa sangat mustahil untuk dia melakukan apa yang bapanya lakukan.
Sedang asyik dalam lamunannya, dia terlihat sebuah cahaya yang sangat terang di ruang angkasa. Pada mulanya, dia menyangka ia hanyalah lintasan biasa yang sekali sekala akan berlaku. Namun, lama kelamaan dia melihat cahaya tersebut semakin membesar dan menghampiri lokasinya. Ia berupa sebuah asteroid.
“Jangan ka–” Belum sempat dia menghabiskan kata, kakinya bergerak dengan sendiri, cuba untuk melarikan diri. Tekaannya tidak salah. Objek tersebut memang menghampiri lokasinya!
MENGENAI EBOOK
Muka Surat : Lebih 450 Muka surat
Patah Perkataan : Lebih 68,000 Patah perkataan
Harga : RM12
Akses ebook akan diberikan serta-merta menerusi email.
==========
TAWARAN ISTIMEWA
Harga ebook Sistem Pemburu - Galaksi Bima Sakti sebelum ini RM9 dan sekarang dinaikkan ke RM12.
Harga terakhir ebook? RM18.
Jadi, jom dapatkan pada harga RM12 sekarang!