
PREVIEW UNTUK ANDA.. SELAMAT MEMBACA!
(Terus Scroll ke bawah untuk Pembelian)
==========
BAHAGIAN SATU: ALEXIS REINHART
Bandar Estola
12 Flamisember, Tahun 10840
Dari jauh kelihatan seorang pemuda berjubah buruk yang menutupi wajah sedang berlari. Deras lariannya dan lincah pergerakannya mengelak pembeli dan peniaga di pasar.
Ada ketika, dilanggarnya sahaja kerana tiada ruang untuk mengelak.
“Jangan lari, pencuri!” Jelas kedengaran teriakan beberapa pemuda yang mengejarnya.
“Jangan lari? Apa mereka fikir aku gila?” Terus ketawa kecil pemuda berjubah buruk itu.
“Mahu sahaja aku dibelasah sehingga mati jika aku berhenti berlari.”
Sekalipun lincah, namun sudah beberapa kali pemuda ini jatuh terguling. Habis calar-balar di badannya yang masih dalam fasa membesar namun tegap itu.
“Sikit sahaja lagi,” ujar pemuda itu sambil matanya memandang ke arah sebuah lorong sempit sekitar seratus meter di hadapan.
Lorong tersebut dipenuhi dengan pelbagai sampah-sarap, kayu, besi buruk, dan lain-lain yang menimbun tinggi. Ada sebab kenapa lorong ini menjadi sasaran pemuda tersebut.
Segala timbunan ini sudah pasti akan menjadi penghalang buat pengejarnya. Sudah dikaji dan diteliti laluan mana yang ingin dilaluinya sejak beberapa hari lalu.
Hanya satu perkara yang membuatkan dia kekal bersemangat untuk melarikan diri sekarang ini. Terbayang di mindanya susuk tubuh seorang kanak-kanak perempuan.
Kanak-kanak itu sentiasa mengukir senyuman manis, memendam resah dan susah hati yang melanda. Dia tahu. Dia faham. Kerana mereka melalui saat yang sangat sukar dalam hidup mereka sekarang ini.
“Tunggu abang, Alexa.” Hanya itu yang mampu dituturkan di dalam hati. Tangannya digenggam kuat, mencari sebanyak mungkin kekuatan untuk keluar dari bahaya yang dihadapinya sekarang ini.
Beberapa saat kemudian, dia tiba di lorong tersebut. Matanya meliar melihat sekeliling, mencari sesuatu.
“Baik! Sana!” Mata si pemuda memandang tepat pada sebuah bata dinding bangunan di lorong itu yang sedikit terkeluar. Dia berlari deras menghala ke arah dinding.
Langsung tidak kelihatan sebarang tanda bahawa lariannya itu akan berhenti. Malah, sebaliknya pula yang berlaku. Lariannya semakin deras dan penuh tenaga. Dia menggunakan bata yang sedikit terkeluar itu sebagai tapak.
Tapak untuknya melonjak tinggi. Pecah berderai bata itu usai kaki si pemuda selesai memijak. Dirinya melonjak sangat tinggi, mengatasi timbunan sampah yang menggunung itu.
Lonjakannya sedikit condong, mengambil momentum untuk melakukan satu lagi aksi luar biasa, larian di dinding! Lariannya membentuk lingkaran. Pada permulaan, semuanya kelihatan seperti apa dalam perancangannya.
Namun, siapa sangka momentum lariannya berkurang dengan mendadak. Lorong itu sepanjang lima puluh meter. Sudah dilaluinya sekitar tiga puluh meter. Hanya berbaki sedikit sahaja sebelum dia berjaya melepaskan diri daripada para pengejarnya.
“Alamak!”
Nasibnya sungguh tidak bernasib baik. Bukan sahaja momentum larian berkurang, dia telah terpijak tompokan minyak pada dinding lorong itu. Entah bagaimana boleh ada tompokan di situ.
“Crash!”
“Dia di seberang sana. Cepat! Bakar semua yang ada di hadapan!” arah seorang lelaki bertubuh sasa, ketua kepada kumpulan pemuda yang mengejar.
Konco-konconya segera berada di hadapan timbunan sampah tersebut. Tangan mereka dihala tepat ke arah sasaran. Lingkaran Elemental berwarna merah menandakan diri mereka Elementalis Api muncul pada kedua-dua belah tapak tangan mereka.
Semburan api yang marak menyala kemudiannya dilepaskan tepat pada timbunan sampah yang menyekat jalan. Mereka tidak selincah dan setangkas pemuda berjubah buruk tadi untuk berlari di dinding. Hanya ini sahaja cara yang dapat difikirkan mereka.
Rasa panas membahang dirasakan dari belakang oleh pemuda berjubah buruk. Peluh mula menitik lebih deras disebabkan oleh suhu yang meningkat tiba-tiba. Dia pula terjatuh sekitar beberapa meter sahaja lagi sebelum tiba di penghujung.
“Elementalis Api?” soalnya di dalam hati. Jelas terpampang pada raut wajahnya kerisauan untuk berhadapan dengan Elementalis. Si pemuda bingkas bangun, tiada masa untuk dia melayan rasa sakit dan luka pada tubuhnya.
Namun, nasib menyebelahinya. Asap tebal terhasil daripada tindakan para pemuda yang mengejar sekaligus menyukarkan lagi pergerakan dan penglihatan mereka.
“Bangsat! Siapa budak itu?” Ketua tersebut mula mengamuk. Wajahnya yang bengis pasti akan menimbulkan gerun pada mata yang memandang.
“Barangkali dia datang dari Wilayah Buangan, Tuan Rodox!” jawab salah seorang konconya yang kurus dan tinggi lampai.
“Wilayah Buangan?” Rodox menyoal sambil melangkah perlahan ke arah konconya itu. Tangannya diletakkan pada bahu si konco sebelum digenggam kasar. Tiba-tiba sahaja kepulan asap mula keluar daripada genggaman itu. Api mulai marak dan membakar.
“Arghhhh! Jangan Tuan Rodox! Tolong hentikan!” rayu si konco menjerit menagih simpati menahan kesakitan yang teramat. Jeritannya jelas bergema melalui lorong tersebut.
“Berhenti? Boleh! Aku nak kau dapatkan si bangsat tersebut segera!”
Rodox menolak kasar tubuh konconya itu sebelum dilepaskan satu tendangan sisi tepat ke arah perut. Konconya itu terpelanting jauh sebelum jatuh tersembam ke tanah.
Sekalipun kesakitan, dia bingkas bangun dan melutut sebelah kaki, “Baik Tuan Rodox! Akan aku segerakan!”
Pemuda berjubah buruk itu sudah jauh meninggalkan kawasan lorong tersebut. Sempat dia melalui beberapa lorong lagi untuk mengelirukan musuh jika masih ada sisa pengejar, sebelum menanggalkan jubah buruk yang dipakainya.
“Fuh. Nasib aku sungguh baik hari ini. Terlepas dari buruan Elementalis,” ujarnya di dalam hati sambil tersengih.
Elementalis, gelaran buat manusia di dunia Solara yang dikurniakan afiniti dengan salah satu daripada lima Elemen; Api, Air, Tanah, Angin dan Logam. Ia adalah anugerah. Bukan semua manusia berjaya untuk menjalin afiniti dengan Elemen.
Mereka yang berjaya sekalipun, potensi mereka juga berbeza bergantung kepada kekuatan afiniti mereka dengan Elemen tersebut. Kekuatan afiniti ini dapat diukur menerusi tahap Elemental mereka.
Sehingga hari ini tahap yang berjaya dicapai oleh manusia di Solara hanya lima; Perintis Elemental, Askar Elemental, Satria Elemental, Jeneral Elemental dan Raja Elemental.
Namun, bukan semua berjaya ke tahap Raja Elemental. Hanya sebahagian kecil sahaja. Bagi mereka yang dikategorikan sebagai genius, dengan mudah akan berjaya ke tahap Jeneral Elemental.
Apapun, bagi kebanyakan Elementalis, mereka tersekat pada tahap Askar Elemental sahaja. Sekalipun tersekat begitu, kekuatan mereka sudah jauh mengatasi manusia biasa.
Ditambah pula dengan status sebagai Elementalis yang sudah cukup untuk memberikan mereka kebebasan untuk melakukan apa sahaja di kawasan manusia biasa. Tiada siapa yang berani ingkar dan melawan mereka.
“Sayangnya aku sudah terlepas usia yang sesuai untuk menjalin afiniti dengan Elemen,” getus hati pemuda tersebut. Sedikit kecewa sambil memandang tapak tangan kanannya.
Ada kesan luka dan darah menitis dari tangan tersebut. “Mungkin sewaktu aku terjatuh dan ingin segera bangun tadi,” ujarnya sambil membalut tangan yang luka itu.
Selepas dibuang jubah buruk itu, jelas terpampang wajah yang sangat tampan. Dia adalah seorang remaja yang baru berusia lima belas tahun, Alexis. Sekali pandang, pasti mereka menganggap dia seorang dewasa.
Rambutnya putih namun bersinar. Raut wajahnya matang, tanda dirinya sudah terlalu banyak makan garam dengan kehidupan dunia. Matanya biru dan bersinar. Terpancar kebijaksanaan pada sepasang mata miliknya itu.
Badannya juga begitu tegap. Ototnya kekar namun tidak besar, padat dengan kuasa dan kekuatan. Namun pakaiannya biasa-biasa sahaja dan sedikit lusuh sekaligus mengurangkan sedikit tarikan orang ramai terhadap dirinya.
Pakaiannya itu sekadar cukup untuk meletakkan dirinya sedikit tinggi dari pakaian penduduk Wilayah Buangan namun masih rendah jika dibandingkan dengan golongan elit Bandar Estola ini.
Digalasnya sebuah beg usang yang dipenuhi barang yang dicuri daripada rumah yang dikawal oleh para Elementalis yang mengejarnya tadi. Ada sebab mengapa rumah tersebut menjadi sasarannya kali ini.
Sudah lama dia merancang, hanya kini semuanya menjadi kenyataan. Rumah itu menyimpan berjuta memori buat dirinya. Entah mengapa, saat ini tiba-tiba sahaja hatinya menjadi sayu.
“Alangkah bagusnya jika ibu dan ayah masih ada.” Sayu hati Alexis saat melalui sebuah kawasan yang tidak asing buat diri dan keluarganya suatu ketika dahulu. Ibu dan ayahnya merupakan Raja Elemental bagi Empayar Aeloria.
Mereka berdua memegang jawatan yang sangat tinggi dalam pemerintahan ketenteraan Empayar Aeloria. Hanya beberapa jawatan sahaja di bawah pemerintah.
Dari usia muda, mereka sudah menunjukkan potensi yang sangat luar biasa di dalam penguasaan Elemental. Ayahnya, Aaron Reinhart, merupakan genius di dalam Keluarga Besar Reinhart.
Sejak dari kecil, Aaron sudah mampu melawan Elementalis yang lebih tua dari dirinya. Sebab itulah dia dikurniakan dengan pelbagai sumber Elemental untuk meningkatkan penguasaan dan tenaga Elemental oleh keluarga.
Pada usia dua puluh tahun, Aaron telah berkahwin dengan Miranda, seorang anak yatim seusianya yang dijaga oleh kedua ibu dan bapa Aaron sejak dari kecil. Miranda diambil kerana bakatnya yang sama luar biasa seperti Aaron.
Perkahwinan mereka dikurniakan dua orang anak yang juga sangat berbakat, Alexis dan Alexa. Di usia kanak-kanak, mereka merupakan keluarga yang bahagia dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Namun, saat menyertai sebuah misi di empayar musuh lima tahun lalu, Aaron dan Miranda telah hilang tanpa jejak. Pihak empayar kemudian memilih untuk mengisytiharkan bahawa mereka telah terkorban.
Ketika itu, Alexis berusia sepuluh tahun dan adiknya, Alexa berusia tujuh tahun. Ibu dan ayah saudara mereka terus datang untuk menuntut segala hak yang kononnya milik mereka daripada harta pusaka yang ditinggalkan.
Kedua ibu dan bapa Aaron, Raja Elemental yang turut sama di dalam misi tersebut, turut diisytiharkan terkorban. Peranan sebagai Ketua Keluarga Reinhart telah diambil oleh Elementalis terkuat selepas mereka berdua, bapa saudara Alexis.
Keadaan ini telah menyebabkan tiada siapa yang ingin menjaga atau melindungi mereka berdua. Ditambah pula dengan segala harta yang dimiliki oleh Aaron dan Miranda, semua mula gelap hati dan mata.
Mereka berdua pula telah dihalau sehelai sepinggang. Untuk beberapa hari, mereka hidup merempat di lorong, tidur beralaskan kotak dan apa-apa sahaja yang dapat ditemui mereka dari longgokan sampah.
Selang beberapa hari kemudian, ada yang mengherdik dan menghina mereka. Namun, ada sesuatu yang menarik dikatakan ketika itu. Sampah seperti mereka lebih baik hidup di Wilayah Buangan.
Cacian tersebut sedikit sebanyak membuatkan Alexis terfikir. Mungkin ada benarnya. Hanya di situ sahaja tempat yang ada buat diri mereka untuk meneruskan hidup.
“Siapa sangka sudah lebih lima tahun semua itu berlaku. Aku sungguh bernasib baik. Masih dapat membesarkan Alexa dan punya ‘keluarga’ baru.” Tangannya memegang tali beg usang yang digalasnya dengan erat.
Sekalipun itu adalah barang curi, namun dia tidak berasa bersalah untuk kali ini. Sebaliknya dia berasa sangat gembira kerana berhasil untuk mencuri barang-barang tersebut.
“Aku yakin. Hasil kali ini akan membantu kita untuk hidup lebih selesa. Sudah lama kita hidup merana. Sudah tiba masanya untuk kita mengubah nasib kita.” Senyuman manis terukir pada wajah Alexis.
Tanpa dia sangka, banyak mata yang terpukau memandang senyuman manis yang terukir pada wajah tampannya itu. Ada yang terpaku dan berhenti dari berjalan. Ada juga yang terlepas barang dari tangan.
Terus mereka terlupa bahawa pakaian Alexis melambangkan dia bukanlah dari golongan elit atau Keluarga Besar. Mereka hanya ingin menikmati keindahan ciptaan Tuhan sahaja ketika ini.
Siapa sangka remaja setampan ini bukan sahaja hidup di Wilayah Buangan, malah merupakan salah seorang ahli kumpulan yang sangat aktif mencuri barangan daripada rumah golongan elit.
Begitulah rutin Alexis setiap minggu, mencuri barang berharga untuk dijual. Dia sedar bahawa tindakannya itu salah dan tidak bermoral. Namun, apa lagi jalan yang tersisa untuk dia dan adiknya?
Ditambah pula dengan dirinya yang tidak sempat untuk menjalin afiniti dengan Elemen sekaligus menjadikannya manusia biasa sahaja. Jika tidak, pasti status sosialnya di dalam masyarakat akan lebih tinggi.
Pasti tidak akan dilakukan pekerjaan sebegini. Untuk mengambil upah menjalankan misi sebagai Pengembara atau Pemburu, syarat utama adalah bergelar seorang Elementalis.
Entah sudah berapa kali dia katakan kepada petugas di kaunter Persatuan Pengembara dan Pemburu bahawa dia tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Elementalis.
Tubuhnya luar biasa kuat dan pantas. Hanyalah dirinya kurang dari segi kuasa Elemental sahaja. Balasan yang diterimanya lebih kepada hinaan dan diperli. Pernah beberapa kali dia mengajak Elementalis pada peringkat Perintis Elemental untuk menguji dirinya.
Tidak pernah sekalipun dia kalah. Saat perkara sebegitu berlaku, pasti akan dihantar Askar Elemental untuk mengalahkannya. Kemudian, tiba-tiba sahaja dikatakan syarat utama mereka adalah pada Peringkat Askar Elemental demi menjaga air muka para Elementalis.
“Mungkin aku boleh tubuhkan Kumpulan Pemburu persendirian dan bergerak secara haram?” Terlintas pula idea sebegitu di dalam fikirannya ketika ini. Namun, segera ditolak ke tepi.
“Tak mungkin. Hanya ada Laxus sahaja yang mampu menyaingi kekuatan aku. Mustahil untuk kami berdua sahaja menjalankan misi.”
Tiba-tiba sahaja memori saat pertama kali menjejakkan kaki ke Wilayah Buangan bermain di fikiran. Kali pertama dia bertemu Laxus dan seorang lagi ‘keluarga’ mereka, Wendy.
BAHAGIAN DUA: WILAYAH BUANGAN
Wilayah Buangan
07 Aerember, Tahun 10835
Wilayah Buangan merupakan kawasan pengumpulan dan buangan segala sampah-sarap, besi buruk, dan lain-lain lagi oleh golongan elit. Setiap timbunannya tinggi menggunung.
Bagi penduduk Wilayah Buangan, sampah golongan elit, harta buat mereka. Masih ada beberapa lagi barang yang boleh dibaiki atau komponen-komponen yang boleh dijual.
Jadilah buat mereka untuk bertahan hidup sehari-hari di dunia yang penuh dengan cabaran ini. Ada sesuatu untuk dimakan sekali sehari juga sudah lebih dari mencukupi.
Untuk masuk ke Wilayah Buangan ini tidak susah. Hanya perlu mendaftar dan melalui pintu utama yang dikawal oleh beberapa orang Askar Elemental. Saban hari, pasti akan ada sahaja yang terpaksa masuk dan menetap di Wilayah Buangan.
Tekanan hidup dan ekonomi menjadikan semakin ramai golongan elit yang muflis dan terpaksa hidup sebagai ‘buangan’. Tidak kurang juga anak-anak yatim piatu, ibu tunggal dan orang tua yang tiada punca pendapatan dan tempat tinggal.
Ia juga menjadi tumpuan pelarian perang dari empayar lain. Kerakusan para pemerintah, sengsara untuk rakyat. Hanya di sinilah kawasan untuk mereka teruskan kehidupan, di Wilayah Buangan.
Dari jauh, kelihatan dua susuk tubuh sedang berjalan menghampiri pintu masuk ke Wilayah Buangan. Ada ramai yang sedang beratur untuk mendaftar dan menanti giliran untuk masuk.
“Ramainya orang, abang,” ujar Alexa. Semakin kuat tangan Alexis digenggamnya. Tiada apa yang perlu dihairankan kerana Alexa masih kecil, baru berusia tujuh tahun.
Ditambah pula sepanjang beberapa hari mereka tinggal di jalanan, segala bentuk cacian, kejian dan hinaan telah diterima oleh mereka. Ada yang bertindak ganas memukul Alexis kerana mengambil makanan yang dibuang dari restoran.
Nasib Alexis baik. Dia mempunyai susuk tubuh yang tegap dan kuat sekali pun masih kanak-kanak. Hanya sedikit lebam sahaja diterimanya akibat pukulan tersebut.
“Jangan risau. Abang ada dengan kamu. Jangan lepaskan tangan abang, okey?” pujuk Alexis. Sedar bahawa dia juga perlu kekal kuat dan berani demi adiknya itu.
Mereka kemudiannya berjalan berpimpinan tangan untuk beratur bersama-sama dengan yang lain, yang punya tujuan serupa. Ada yang memandang penuh sinis terhadap dua kanak-kanak itu.
Mungkin terlupa bahawa diri mereka juga sama seperti dua kanak-kanak itu. “Berdiri jauh sikit!” Jerkah seorang lelaki sekitar 40-an terhadap Alexa. Dari pakaiannya, dia seperti seorang yang berstatus tinggi.
Namun, jika sudah beratur di sini, sudah pasti dia di antara mereka yang muflis, dibuang keluarga atau melarikan diri dari buruan sesiapa. Gayanya penuh bongkak. Tidak dinafikan bahawa ingin sahaja dia menumbuk lelaki ini.
Tapi, dia sedar tindakan itu hanya akan memberikan kesan buruk kepada mereka berdua. Besar kemungkinan mereka akan dihalang daripada masuk ke Wilayah Buangan dan terus dibuang bandar.
Jika perkara itu berlaku, mustahil untuk mereka teruskan hidup. Mereka tiada sesiapa di tempat lain. Sekalipun ada, mustahil untuk mereka melalui rimba untuk hidup di pekan kecil atau kampung.
Segala laluan rimba dipenuhi oleh Mergastua Elemental yang dengan mudah mampu untuk meragut nyawa mereka. Jadi, Alexis hanya mampu untuk menahan marah dan bersabar sahaja.
“Maaf Encik. Kami akan menjauh.”
“Tahu pun!” Masih bongkak lelaki tersebut. Alexis memilih untuk menjaga jarak kali ini. Masih ada sekitar tujuh belas orang di hadapannya. Sudah lebih sejam mereka beratur.
“Abang, maaf. Alexa tak akan susahkan abang lagi.”
“Tidak mengapa. Kamu langsung tidak salah,” pujuk Alexis.
Perbualan mereka ini didengari oleh lelaki bongkak tadi. Semakin geram pula dia dengan dua kanak-kanak ini. “Tak bersalah kau kata—”
Belum sempat habis bicara, bulu roma lelaki bongkak tersebut berdiri tegak. Terasa seram sejuk badannya saat bertentang mata dengan Alexis. Renungan Alexis tajam dan penuh kejam, tidak seperti renungan seorang kanak-kanak.
Satu aura luar biasa dapat dirasakan dari tubuh kanak-kanak lelaki di hadapannya itu. Mereka yang ada di sekeliling juga dapat merasakan aura tersebut. Tubuh mereka juga menjadi seram sejuk.
Semua mata memandang tepat ke arah Alexis. Para pengawal yang bertugas juga tidak terkecuali. Dua pengawal bergegas datang ke arah Alexis dan si lelaki bongkak.
“Apa yang berlaku?!” soal salah seorang pengawal. Badannya sedikit gempal untuk seorang pengawal. Mungkin sebab itulah dia ditugaskan di sini. Wajahnya bengis dan langsung tidak mesra.
“Budak jalanan dua orang ini menyusahkan aku. Duduk terlalu rapat. Habis pakaian aku terlekat bau busuk mereka,” adu si lelaki bongkak.
“Aku—”
“Piaakkk!” Bunyi tamparan pada pipi yang sangat kuat kedengaran. Habis tersembur keluar beberapa batang gigi dari mulut si lelaki bongkak.
“Kau mahu mendaftar masuk di sini namun masih lagi bongkak? Tak sedar diri!” balas si pengawal gempal. Tangannya dihayun sekali lagi pada pipi sebelah lagi.
Kali ini gigi dan darah pula tersembur keluar dari mulut si lelaki bongkak. Dia sudah jatuh terduduk, pening barangkali dengan impak tamparan dan darah yang keluar.
Seorang lagi pengawal datang ke arah si lelaki bongkak. Kolar bajunya digenggam, “Kau masih nak berlagak lagi?”
Laju kepala si lelaki bongkak digeleng berulang-ulang kali. Insaf dengan apa yang dilakukannya sebentar tadi. Mustahil untuk dia terus berlagak jika begini dia dilayan. Satu tamparan lagi, pasti nyawanya pula yang akan melayang.
“Bagus!”
Mata kedua-dua pengawal memandang tepat ke arah Alexis dan Alexa. “Budak! Ke mari. Kalian daftar dahulu.”
Alexis dan Alexa saling berpandangan dan terpinga-pinga. Alexis kemudiannya mengukirkan senyuman kepada Alexa sebelum mengangguk. Tangan Alexa ditarik, dia ingin segera untuk mendaftar.
Risau jika ada lagi yang ingin mencari pasal dengan mereka selepas ini. “Ayuh Alexa! Mereka memanggil kita berdua.”
Langkah mereka deras menghampiri dua pengawal tersebut. Dapat dilihat pada tanda nama di uniform milik pengawal gempal itu, Kasan. Manakala yang seorang lagi pula bernama Sakan.
Gandingan mereka berdua sangat unik. Seorang bertubuh gempal, pendek dan berwajah bengis. Seorang lagi pula kurus, tinggi dan berwajah manis.
“Apakah kau seorang Elementalis, budak?” soal Kasan. Soalannya ini bersebab. Aura yang dipancarkan oleh Alexis sebentar tadi sangat berbeza.
Penuh dengan kuasa, sama seperti ketika mereka bertemu dengan Raja Anderson, pemerintah Empayar Aeloria. Aura Raja Anderson akan membuatkan mereka di sekeliling sukar untuk bernafas.
Sakan juga merenung Alexis tanpa berkedip. Inginkan jawapan dan kepastian. Menggigil tubuhnya sebentar tadi saat merasakan aura yang dipancar oleh Alexis.
“Bukan, Tuan Kasan. Saya hanyalah manusia biasa. Saya tidak punya peluang untuk menjalin afiniti dengan Elemen sekalipun tahun ini saya berusia sepuluh tahun,” balas Alexis penuh hormat.
“Eh? Bukan Elementalis?” Kedua-dua Kasan dan Sakan saling berpandangan. Agak pelik sebenarnya jika apa yang dikatakan oleh Alexis ini adalah benar. Mana mungkin manusia biasa punya aura sekuat itu?
“Benar, Tuan Kasan dan Tuan Sakan. Namun, ibu dan bapa saya merupakan Elementalis. Mungkin tuan berdua pernah mendengar nama mereka?” soal Alexis. Soalan ini bukan sengaja ditanya.
Dia mempunyai sebab yang tersendiri. Mungkin dengan status kedua ibu dan bapanya, dia mampu untuk mendapatkan perlindungan sementara waktu. Sudah banyak jasa mereka buat penduduk bandar Estola dan Wilayah Aeloria.
Pasti akan ada sedikit yang sanggup memberikan simpati kepada mereka berdua. Itulah tujuan ditanya sedemikian rupa.
“Siapa nama kedua ibu dan ayahmu, budak?” soal Sakan.
“Aaron dan Miranda. Keluarga Besar Reinhart,” balas Alexis dengan senyuman.
Mata Kasan dan Sakan terbeliak. Pada tanggapan Alexis, mungkin umpannya mengena kali ini. Pasti mereka ini akan membantu dia dan adiknya untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.
Namun, sangkaan Alexis meleset. Deraian tawa hampir mengilai yang diberikan oleh Kasan dan Sakan. Entah apa yang melucukan mereka, dia sendiri tidak tahu.
“Hahaha! Kau memang kelakar budak. Kau mengaku kau anak Aaron dan Miranda?” soal Kasan. Wajahnya yang bengis terus menjadi sedikit manis.
“Jika begitu, aku adalah bapa saudara kalian. Aku adalah abang kepada Aaron Reinhart,” usik Sakan.
Tergamam Alexis melihatkan reaksi mereka berdua. Sangkanya, pernyataan sedemikian akan memberikan kelebihan buat dirinya. Sebaliknya pula yang berlaku. Ia menjadi bahan ketawa mereka.
Alexis kemudiannya sedar akan satu perkara. Sekalipun dia mengaku sedemikian, mustahil untuk ada yang percaya. Ditambah pula kedua-dua ibu dan ayahnya sudah diisytiharkan meninggal dunia.
Mereka berdua pula telah dibuang keluarga. Jadi, tiada sesiapa yang mampu mengesahkan perkara ini buat mereka. Mereka juga tidak mempunyai sijil kelahiran bersama-sama mereka.
“Betul apa yang abang kata! Aaron dan Miranda adalah ibu dan ayah kami!” jerit Alexa kepada dua pengawal tersebut. Geram dengan ketidakadilan yang diterima oleh mereka ketika ini.
Deraian ketawa kedua-dua pengawal itu terhenti. Wajah mereka kemudian bertukar serius sebelum membisikkan sesuatu kepada Alexis dan Alexa.
“Dengar sini, budak. Kami tiada niat jahat. Kami cuma ingin membantu. Aaron dan Miranda sudah tiada. Raja Anderson isytiharkan mereka sudah meninggal dunia.”
“Jadi, akan ada ramai yang mengaku anak kepada mereka berdua ini. Mengaku segala macam perkara. Tujuan mereka satu, harta peninggalan Aaron dan Miranda,” ujar Kasan dengan nada penuh serius.
“Aku tidak tahu sama ada apa yang kalian katakan adalah benar atau sebaliknya. Kami semua ada terdengar khabar angin bahawa pewaris Aaron dan Miranda diusir keluar oleh Keluarga Besar Reinhart…”
“Namun, Keluarga Besar Reinhart menafikan perkara tersebut. Melihatkan aura kau sebentar tadi, aku sukar untuk menafikan dan aku juga sukar untuk percaya,” sambung Kasan.
“Jika benar apa yang kau katakan, budak, simpanlah rahsia ini sebaiknya. Aku risau akan keselamatan kalian,” ujar Sakan pula. Nadanya penuh dengan simpati. Namun, apa yang dapat mereka lakukan? Mereka hanyalah pengawal biasa.
Ingin diambil kedua kanak-kanak ini, jika benar dibuang keluarga, pasti sesiapa yang mengambil mereka akan menerima padah. Mereka sendiri mempunyai keluarga, jadi mustahil untuk mereka mengambil risiko sebegini.
Alexis mengangguk, tanda faham apa yang cuba disampaikan oleh dua pengawal di hadapannya itu. Jika pihak pemerintah mengisytiharkan kematian kedua ibu dan ayahnya tanpa ada bukti yang kukuh, pasti ada sesuatu yang tidak kena.
Besar kemungkinan ada yang merencana ‘kematian’ mereka ini. “Baiklah. Terima kasih Tuan Kasan dan Tuan Sakan.” Alexis meletakkan tangan kanan pada dada kirinya sebelum menunduk sedikit tanda hormat.
“Panggil sahaja kami pakcik. Kalian pasti akan kerap melalui pintu masuk dan keluar ini nanti. Kita pasti akan bertemu lagi,” balas Kasan dengan senyuman. Sakan yang bengis itu juga senyum pada mereka.
“Sudah. Ayuh! Aku daftarkan kalian,” gesa Kasan.
Ada sebab kenapa Sakan dan Kasan masih membantu Alexis sedemikian rupa sekalipun tidak percaya bahawa Alexis dan Alexa adalah anak Aaron dan Miranda. Semua ini kerana aura yang dipancarkan oleh Alexis sebentar tadi.
Mereka yakin pasti ada takdir yang luar biasa buat Alexis di kemudian hari. Jadi, mereka hanya bertaruh dengan takdir. Jika Alexis benar-benar menjadi ‘sesuatu’ di kemudian hari, pasti dia akan mengenang jasa mereka berdua hari ini.
Setibanya di kaunter pendaftaran, mereka disambut sinis oleh pengawal bertugas. Pengawal ini sedang duduk bermalasan sambil menonton video yang dipancar menerusi jam digital miliknya.
Tanpa memandang wajah mereka, pengawal tersebut menunjuk dengan kaki sahaja ke arah satu sudut penuh dengan timbunan borang. Ada sebuah borang yang perlu diisi oleh mereka sebelum mereka dapat masuk ke kawasan ini.
“Hoi!” jerkah Kasan kepada pengawal tersebut.
Terkejut si pengawal mendengar jerkahan tersebut. Kenal benar dia akan pemilik suara tersebut. Ia milik pengawal gempal dan bengis, Kasan!
“Tuan!” Segera tangannya menabik hormat kepada Kasan dan Sakan. Rupa-rupanya Kasan dan Sakan adalah Ketua dan Penolong Ketua bagi operasi di pintu masuk Wilayah Buangan.
Tahap Elemental mereka juga agak tinggi berbanding pengawal lain. Mereka di Peringkat Satria Elemental. “Apa yang kau buat?”
“Maaf tuan!” Sekalipun bertenaga, kaki si pengawal sudah menggigil ketakutan.
“Daftarkan dua kanak-kanak ini segera,” arah Kasan.
“Baik tuan!” Terus dihulur sebatang pen dan dua helai borang kepada Alexis dengan segera.
Alexis mengambil pen tersebut dan mengisi borang, buat dirinya dan juga Alexa. Menggigil tangannya menahan sedih. Siapa sangka, dari sebuah rumah yang besar dan keluarga yang bahagia, kini mereka terpaksa hidup sebegini.
Jelas pada kedua-dua belah matanya, air mata sedang bertakung, menanti masa untuk tumpah. Sangat berat ujian buat mereka berdua yang masih tersangat kecil untuk hidup berdikari di dunia.
“Tidak! Aku akan cari ibu dan ayah! Mereka belum mati!”
“Akan aku bongkar apa sebenarnya yang berlaku!”
Segera tangannya menyeka air mata yang hampir sahaja berguguran. Kasan dan Sakan perasan akan apa yang berlaku dan sangat faham. Namun, mereka juga tidak mampu untuk melakukan apa-apa.
Hanya begini sahaja bantuan yang mampu diberikan oleh mereka buat masa ini. Selesai sahaja diisi borang tersebut, diletakkan di dalam satu bekas yang disediakan.
Di dalam bekas tersebut, ada ratusan borang dan Alexis melihat tanda yang memaparkan tarikh pada bekas tersebut. Berkerut-kerut dahinya melihatkan timbunan borang tersebut.
“7 Aerember? Hari ini sahaja sudah sebanyak ini yang mendaftar masuk ke Wilayah Buangan?”
Dia risau. Bagaimana untuk mereka hidup dalam kawasan yang rata-rata penduduknya hidup dalam keadaan yang sangat tertekan? Pasti ramai yang akan bertindak di luar kawalan.
Di luar tadi sahaja sudah ada yang mencari pasal sedemikian rupa dengan mereka sekalipun mereka masih kanak-kanak. Bagaimana pula keadaannya di dalam nanti? Alexis menarik nafas dalam sebelum berpaling kepada Kasan dan Sakan.
“Terima kasih pakcik berdua kerana membantu kami. Kami tidak akan lupakan jasa pakcik berdua!” ujar Alexis. Alexa juga menunduk sedikit sebagai tanda terima kasih kepada dua pengawal tersebut.
“Tidak mengapa. Anggap sahaja sebagai bantuan daripada seorang dewasa kepada kanak-kanak. Kami pasti kalian sudah melalui kehidupan yang sangat perit. Jangan risau. Di Wilayah Buangan, ia bukanlah pengakhiran.”
“Ramai yang berjaya bangkit semula selepas beberapa tahun di Wilayah Buangan. Dengan potensi yang ada pada kalian, kami yakin.” Kasan dan Sakan melemparkan sebuah senyuman kepada dua beradik itu.
Tangan Alexa digenggam erat sebelum dipimpin ke salah sebuah pintu masuk ke dalam Wilayah Buangan. Pintu 7. Seorang pengawal kemudiannya menolak pintu besi untuk memberikan laluan masuk kepada mereka berdua. Wajahnya juga bengis.
Kaki mereka melangkah masuk. Langkahan pertama kepada sebuah dunia yang tidak pasti. Apakah akan menjadi lebih baik buat mereka atau sebaliknya?
BAHAGIAN TIGA: HIDUP ATAU MATI
Pintu Masuk Wilayah Buangan
07 Aerember, Tahun 10835
Di sebalik Pintu 7, mereka disapa oleh bau yang sungguh tidak enak. Udaranya jelas tercemar, kotor dan bahaya. Pemandangan yang disajikan juga sungguh jijik. Sampah menggunung tinggi. Penuh lalat menghurung sebahagian kawasan.
Pada bahagian lain pula, penuh dengan timbunan besi buruk, kayu dan alatan elektronik yang sudah rosak. Di setiap bahagian, pasti ada sahaja individu yang sedang mencari sesuatu daripada timbunan sampah tersebut.
Untung-untung, dapat sesuatu yang mempunyai harga untuk dijual. Sekalipun tidak mahal, dapat jugalah ditukarkan kepada beberapa keping syiling gangsa untuk membeli makanan.
Kemudian, dapat dilihat pada satu sudut, sekumpulan enam orang pemuda sedang berkumpul mencari ‘harta’ dari timbunan sampah. Salah seorang daripada mereka terpandang Alexis dan adiknya.
“Lihat! Kita ada budak baru!” jerit pemuda tersebut sambil tersenyum sinis. Penuh dengan niat durjana.
“Budak! Datang ke mari!” jerit salah seorang pemuda yang lagaknya seperti ketua untuk kumpulan tersebut.
Alexis dan Alexa tiada pilihan selain dari berjalan ke arah mereka. Beberapa individu lain yang berada di kawasan tersebut turut memandang ke arah mereka berdua.
Tidak kurang juga yang menggelengkan kepala. Kasihan barangkali akan nasib yang bakal menimpa kanak-kanak ini. Mereka yang baru sahaja mendaftar masuk ke wilayah ini, memilih untuk berjalan sepantas mungkin.
Mereka tidak ingin terpalit dengan nasib buruk dua kanak-kanak itu. Bagi mereka, mereka tidak ingin untuk menambah masalah lagi.
“Kau budak baru?” soal pemuda tersebut sambil berjalan menghampiri mereka berdua. Tersenyum, namun penuh dengan muslihat. Jelas bahawa dia sedang merencana sesuatu.
Alexis mengangguk perlahan tanda mengiyakan. Alexa pula berselindung di belakang Alexis, sedikit takut dengan apa yang sedang menanti mereka.
Pemuda tersebut tersenyum sinis sambil memandang kedua-dua beradik itu dari atas ke bawah. Pakaian mereka masih kelihatan baru, hanya kotor disebabkan mereka tinggal di jalanan.
Hanya itu sahaja yang tinggal buat mereka sebelum dihalau keluar dari Keluarga Besar Reinhart dan datang ke sini.
Namun, pakaian mereka memberikan persepsi kepada kumpulan ini bahawa mereka pasti punya sedikit wang atau barang berharga.
“Kau tahu kan semua budak baru perlu membayar wang perlindungan kepada aku?” soal si ketua kumpulan itu lagi.
Kumpulan pemuda tersebut kemudiannya mengelilingi Alexis dan Alexa. Masing-masing punya wajah yang penuh dengan fikiran jahat.
Mengambil kesempatan atas kesempitan mereka berdua. Tanpa mengira usia. Kanak-kanak seperti mereka juga tidak terlepas dari menjadi mangsa.
Alexis menggeleng menandakan dia tidak tahu akan hal wang perlindungan. Hari ini adalah kali pertama dia dan adiknya menjejakkan kaki di Wilayah Buangan. Mana mungkin mereka cakna akan undang-undang yang wujud di sini.
“Hahaha! Sebab itulah aku beritahu. Berikan aku empat puluh syiling perak. Setiap…satu…kepala,” sambung pemuda tersebut. Langkahnya perlahan mendekati mereka berdua. Diseluk saku sisi di kanan seluarnya dan mengeluarkan sebilah pisau lipat.
“Tss!” Bunyi pisau lipat tersebut dibuka sebelum diletakkan tepat pada pipi Alexis. Digerakkan perlahan-lahan pisau tersebut ke depan dan ke belakang. Sekalipun diperlakukan sedemikian, Alexis kekal tenang.
Matanya memandang tajam ke arah kumpulan tersebut. Setiap satu wajah yang ada dalam kumpulan ini dipahat kemas di dalam memorinya. Jika hari ini dia dibuli sebegini, dia pasti akan membalas semua ini di kemudian hari.
Lima kali ganda? Tidak!
Akan dibalasnya perbuatan mereka ini seratus kali ganda! Mana mungkin dia biarkan semua ini berlalu begitu sahaja. Akan dia balas segala kejahatan yang dilakukan terhadap dirinya dan keluarga!
Tangan Alexis digenggam kuat. Cuba untuk mengawal diri daripada terus mengambil tindakan yang mampu membahayakan nyawa dia dan Alexa. Di dalam fikirannya sekarang ini, dia sudah melakukan simulasi pertempuran.
Sejak usia lima tahun, ibu dan ayahnya sudah mengajar beberapa asas Seni Tempur. Begitu juga dengan Alexa. Kerap kali juga mereka berlatih asas ini bersama-sama.
Semua ini adalah persediaan sebelum mereka menjalin afiniti dengan Elemen masing-masing pada usia sepuluh tahun. Namun, sekalipun dia mampu menghafal segalanya dengan sempurna, dia tidak pernah berada di dalam situasi sebegini.
Situasi hidup atau mati!
Melihatkan Alexis yang kekal tenang sekalipun diugut sedemikian rupa, menimbulkan berang si ketua. Begitu juga dengan kumpulannya. Dia tekad dengan keputusannya. Budak ini perlu diajar.
“Slit~” Pisau tersebut ditekan sedikit lebih kuat berbanding tadi. Kulit Alexis ditoreh mudah oleh pisau tersebut. Satu garisan panjang muncul pada pipi kirinya ketika ini.
Darah pula secara perlahan-lahan mulai mengalir pada pipi Alexis. Sakit? Sedikit. Namun, dia tidak boleh ekspresikan sebarang perasaan. Dia perlu kekal tenang, demi Alexa.
Pemuda tersebut agak terkejut melihat ketenangan Alexis. Seolah-olah sedikit pun Alexis tidak takut akan dia dan kumpulannya. Ligat otak pemuda tersebut memikirkan cara lain untuk membuatkan Alexis akur.
“Berikan aku empat puluh syiling perak atau…kau nak aku kelar leher dia?” ugut pemuda tersebut sambil lidahnya menjilat darah yang tersisa pada pisau lipat. Matanya kini memandang tepat pada Alexa.
Gila! Mereka yang lain juga tertawa besar. Puas hati dapat menunjukkan ‘kekuatan’ mereka sebegini. Menjadi penduduk Wilayah Buangan, diri mereka sentiasa dirasakan sebagai kasta terendah.
Apabila dapat melakukan perbuatan sebegini, perasaan kuat dan berkuasa, membuatkan mereka menjadi sedikit gila. Gila untuk cuba menipu diri sendiri, gila untuk lari dari realiti kehidupan mereka sendiri.
Tindakan gila si ketua dan deraian tawa dengan diselangi suara garau beberapa ahli kumpulan tersebut membuatkan tubuh Alexa menggigil ketakutan. Pelbagai kemungkinan berlegar-legar di dalam fikirannya.
“Apakah kami akan mati, Tuhan?” soal Alexa di dalam hati. Matanya dipejam rapat. Tangannya masih kuat memegang baju Alexis dan berselindung di belakangnya. Tidak mampu untuk dia melihat semua ini.
Alexis masih tetap sama, tidak memberikan sebarang reaksi. Berang dengan ketenangan Alexis, pemuda tersebut menendang perut Alexis. Tangan Alexa kemudiannya ditarik kasar.
“Abang! Tolong!” Alexa menjerit sekuat hatinya. Dia benar-benar ketakutan sekarang ini. Tangan si pemuda itu cuba ditolaknya, namun sia-sia. Mustahil untuk dia melawan kudrat si pemuda itu.
Alexis melutut menahan kesakitan. Namun matanya masih lagi tajam menatap pemuda tersebut. Sedikit sukar untuk dia bernafas sekarang ini.
“Jangan kau apa-apakan dia!” jerit Alexis sekuat hati. Kemarahannya benar-benar memuncak sekarang ini. Ingin sekali dia bingkas bangun dan membelasah kumpulan pemuda ini.
Namun, badannya mengkhianati kemahuannya. Alexis masih mengumpul kekuatan untuk bangun. Matanya masih merenung tajam si ketua. Belum sempat dia berdiri sepenuhnya, secara tiba-tiba sahaja sebuah objek melintas laju.
“Klanggg!” Pisau lipat tersebut terpelanting jauh. Kelihatan sebutir bola logam kecil seperti peluru jatuh selepas tepat menghentam tangan si pemuda.
“Argghhhh! Tangan aku!”
Meraung-raung si ketua menahan kesakitan. Jelas kelihatan tangannya kebiruan, lebam, impak daripada hentaman peluru logam kecil itu. Sebuah peluang untuk serangan balas terbuka luas buat Alexis.
Alexis menggunakan kesempatan ini untuk berlari dan merebahkan badan sebelum menyauk kaki si ketua dari belakang menggunakan kaki kanannya. Jatuh terlentang pemuda itu akibat serangan mengejut Alexis.
Dengan peluang yang masih ada untuk menyerang, Alexis pantas menggunakannya untuk melakukan rolling axe kick yang tepat menghentam perut si ketua. Bersembur-sembur darah keluar daripada mulut.
Melihatkan situasi tersebut, ahli kumpulan pemuda yang lain mula berlari ke arah mereka berdua. Kebanyakan mereka ingin segera menyerang Alexis. Tidak kurang juga yang mempunyai niat untuk membunuh.
Belum sempat mereka melangkah lebih lima langkah, bunyi tembakan bertalu-talu kedengaran. Jika ketua mereka hanya menerima satu butir peluru logam halus, mereka semua menerima tidak kurang dari sepuluh butir peluru logam halus.
Setiap peluru logam ini mensasarkan bahagian penting pada tubuh mereka. Mungkin disebabkan oleh jumlah peluru yang dihasilkan terlalu banyak dan pantas, impak serangan kali ini jauh lebih rendah berbanding sebutir peluru awal-awal tadi.
Sekadar mampu memberikan rasa sakit sahaja pada tubuh mereka. Impaknya tidak mampu untuk mencederakan dengan segera seperti apa yang diterima oleh si ketua.
Ahli kumpulan pemuda tersebut mula melihat sekeliling. Cemas. Risau diri mereka pula bakal menjadi mangsa seterusnya. Mata mereka meliar memandang ke semua arah.
Risau seandainya tiba-tiba sahaja mereka diserang oleh penyerang misteri itu lagi. Bahagian tubuh yang terkena tembakan tadi sudah mula membiru dan menjadi lebam.
“Siapa?! Kalau berani, munculkan diri kau sekarang!” laung salah seorang pemuda, bengang setelah beberapa detik berlalu namun si penyerang masih belum memunculkan diri.
Dari sebalik timbunan sampah yang menggunung, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki. Tubuhnya agak sasa berbanding mereka yang seusia. Di sisinya pula kelihatan seorang kanak-kanak perempuan, manis wajahnya, berjalan tenang menghampiri mereka.
“Aku. Ada masalah?” sahut kanak-kanak lelaki tersebut. Di tangannya kelihatan sebuah Lingkaran Elemental berwarna perak.
Elementalis Logam!
Siapa sangka kanak-kanak lelaki ini merupakan seorang Elementalis.
Melihatkan susuk tubuh yang menghampiri mereka, kumpulan pemuda tersebut kembali tenang. Senyuman jahat terukir.
Pada mata mereka, apa perlu dirisaukan jika budak yang menjadi musuh mereka.
“Berani kau serang hendap kami, budak?!”
“Biar aku ajar kau untuk hormat orang lebih tua!”
Salah seorang daripada kumpulan pemuda tersebut, gempal badannya, berlari selaju yang mampu sambil tangannya kemas menggenggam penumbuk. Ditarik ke belakang, mengumpul tenaga secukupnya.
Baginya, sekalipun kanak-kanak lelaki tersebut adalah Elementalis, dia masih mentah. Mustahil untuk mereka berasa takut apa lagi untuk kalah di tangan seorang kanak-kanak. Tangan pemuda gempal itu dihayun pantas.
Elementalis kanak-kanak itu tersenyum sinis, tumbukan pemuda itu bakal disambut dengan tumbukan juga daripadanya. Lingkaran Elemental muncul di hadapan tangan yang dihayun.
Usai melalui lingkaran tersebut, tangannya berubah warna menjadi warna perak tanda ia disaluti logam. Kedua-dua penumbuk bertemu, tiada bunyi dentuman. Hanya bunyi tulang patah riuk sahaja yang kedengaran.
“Argghhh!” teriak si pemuda gempal.
Tangannya meliuk longlai. Belum sempat teriakannya tamat, satu lagi tumbukan hinggap di pipi kirinya. Terpelanting si pemuda gempal impak daripada tumbukan tersebut.
“Ada lagi yang ingin mencuba nasib?” soal Elementalis kanak-kanak itu. Kanak-kanak perempuan yang datang bersamanya cuba untuk menahan ketawa. Geli hati dengan cara rakannya itu mengugut.
Dia langsung tidak takut dengan situasi yang dihadapi mereka. Situasi sebegini sudah menjadi rutin harian yang perlu mereka hadapi di Wilayah Buangan.
Kumpulan pemuda tersebut terkelu dan keras terpaku di posisi masing-masing. Tiada yang berani untuk bertindak. Mereka tahu, jika mereka bertindak, tiada beza mereka dengan beg pasir yang digunakan untuk latihan menumbuk.
“Sudah! Ayuh pergi dari sini!” arah salah seorang ahli kumpulan itu. Ketua mereka dipapah oleh dua pemuda lain. Pemuda gempal tadi pula dipapah oleh mereka yang lain. Sukar untuk mereka segera berlalu dengan berat si pemuda gempal. Ingin sahaja ditinggalkan dia di sini.
Mata mereka yang memerhatikan segala apa yang berlaku sejak dari awal terkebil-kebil. Sangka mereka, pasti nasib dua kanak-kanak tersebut tidak akan terbela dengan sebaiknya.
Siapa sangka, penyerang pula yang diserang.
Pemangsa yang menjadi mangsa.
Sekumpulan pemuda dikalahkan oleh dua orang kanak-kanak? Jika diceritakan kepada orang ramai, pasti sukar untuk ada yang percaya.
Semuanya berlaku sekelip mata sahaja. Alexa segera berlari mendapatkan Alexis. Dia duduk memegang pipi Alexis yang masih mengalir darahnya. Dikoyakkan sedikit kain pada skirt yang dipakainya untuk menutup luka tersebut.
Bunyi derapan tapak kaki menghampiri mereka. Dua kanak-kanak yang menjadi penyelamat mereka menghampiri. Kanak-kanak perempuan itu manis wajahnya dengan senyuman.
Berbeza pula dengan kanak-kanak lelaki yang merupakan Elementalis Logam itu. Wajahnya sangat serius dan kurang mesra.
“Budak baru? Apa kalian punya tempat tinggal?” Alexis kemudian disapa oleh suara seorang kanak-kanak perempuan yang datang bersama dengan Elementalis kanak-kanak itu tadi.
“Tidak. Kami tidak punya tempat tinggal,” balas Alexis.
Sedikit lemah suaranya kali ini. Mungkin tersedar akan masalah-masalah yang masih perlu difikirkan sekalipun sudah tinggal di Wilayah Buangan.
Mereka masih belum mempunyai tempat tinggal, tidak mempunyai sumber makanan dan Alexis sudah bercadang untuk mendapatkan apa-apa pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka berdua.
“Oh! Kalau begitu…Laxus, boleh izinkan mereka tinggal bersama-sama kita dan sertai kumpulan kita?” pinta kanak-kanak perempuan tersebut penuh ceria.
“Wendy, kau tidak boleh menjemput semua kanak-kanak yang baru masuk ke sini untuk tinggal bersama-sama kita.” Balas kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Laxus itu.
Suaranya bernada tegas dan keras. Auranya juga berbeza. Bukti betapa kerasnya kehidupan yang dilalui oleh mereka di Wilayah Buangan.
“Tapi…Aku kasihan akan adik perempuan ini. Tambahan pula, aku tidak mempunyai rakan perempuan,” balas Wendy.
Berkerut dahi Laxus, fikirkan sesuatu. Lama Laxus duduk termenung memikirkan keputusan terbaik untuk mereka. Alexis dan Alexa berharap agar mereka diterima. Begitu juga Wendy, sangat teruja menanti keputusan Laxus.
“Baiklah. Kalian boleh tinggal bersama-sama kami,” putus Laxus.
Keputusan ini membuatkan Wendy melonjak keriangan. Dia sudah tidak sabar untuk mempunyai rakan perempuan di dalam kumpulan mereka ini. Tangannya segera mencapai tangan Alexa.
“Mulai hari ini, kita kawan!” laung Wendy penuh gembira. Alexa membalas dengan senyuman dan mengangguk. Melihatkan perwatakan Wendy, dia pasti mereka boleh menjadi kawan baik.
Laxus melangkah tenang ke arah Alexis yang masih lagi menyapu darah yang masih mengalir dari pipinya itu. Luka tidak dalam, namun terasa pedih apabila bercampur dengan peluh yang mengalir ketika itu.
Apapun, Alexis sedar bahawa masih banyak lagi yang akan ditempuhi di kemudian hari. Jadi, kesakitan sebegini tidak boleh mematahkan semangatnya. Dia sedar di dunia yang penuh dengan bahaya seperti ini, pertumpahan darah tidak mampu untuk dielakkan.
Laxus kemudiannya berjalan menghampiri Alexis. Laxus mempunyai rambut sederhana panjang berwarna hitam. Wajahnya tidak terlalu tampan. Dalam kategori biasa-biasa sahaja.
Menariknya mengenai Laxus adalah aura miliknya yang kelihatan sentiasa serius ditambah pula dengan tubuhnya yang sasa untuk kanak-kanak seusianya. Dia memerhatikan Alexis dengan penuh teliti. Badannya keras terpaku seketika.
Buat pertama kalinya, dia berasa sedikit gementar berhadapan dengan kanak-kanak lain. Aura yang ada pada Alexis sangat jauh berbeza. Sepertinya ada mergastua yang sedang menyamar di sebalik kulit manusia pada Alexis.
Laxus menarik nafas panjang dan meneruskan niatnya sebentar tadi untuk menghampiri Alexis. “Namaku Laxus. Kalian?” balas Laxus sambil menghulurkan tangan kepada Alexis.
Huluran tangannya disambut kemas oleh Alexis. “Namaku Alexis dan ini adikku, Alexa.” Alexis mengukir senyuman manis kepada Laxus dan Wendy, teman baru di dalam hidupnya kini.
Siapa sangka, bermula dari saat itu, hidupnya yang disangka tidak akan ada masa depan, berubah sepenuhnya. Besar sekali jasa Laxus dan Wendy dalam membantu mereka menyesuaikan diri pada hari-hari awal di Wilayah Buangan.
BAHAGIAN EMPAT: ORB ELEMENTAL
Pintu Masuk Pasar Gelap
12 Flamisember, Tahun 10840
Imbasan memori pertemuan kali pertama mereka terhenti apabila dia tersedar yang dia sudah tersalah lorong. Alexis berjanji untuk bertemu dengan Laxus dan seorang lagi ahli kumpulan mereka, Kael, di sebuah lorong berhampiran Pasar Gelap.
Pasar Gelap terletak di bahagian utara Bandar Estola. Sangat hampir dengan Wilayah Buangan. Pasar ini sangat terkenal bagi para pencuri, perompak, penyamun dan seangkatannya.
Sebabnya, di sini, segala barangan boleh dijual dengan mudah tanpa ada yang persoalkan dari mana mereka mendapatnya. Ia kemudian akan dijual pula di Pasar Gelap di bandar atau empayar lain.
Dari jauh, Alexis sudah dapat mengecam dua susuk tubuh yang berada di sebuah lorong tidak jauh dari pintu masuk Pasar Gelap. Laxus dan Kael sudah sedia menanti. Beginilah rutin mingguan mereka usai menjalankan ‘misi’.
Setiap minggu, mereka memilih hari yang berbeza untuk ‘misi’ mereka. Sasaran mereka, rumah golongan elit tanpa adanya Elementalis. Dalam kumpulan mereka, hanya Laxus yang mempunyai afiniti dengan Elemen.
Mereka yang lain, tidak mempunyai kesempatan melakukannya pada usia mereka sepuluh tahun. Usia yang paling kritikal untuk mana-mana manusia di Solara jika mereka mahu menjadi Elementalis.
Sebuah Orb Elemental diperlukan untuk membuka aliran Elemental di dalam badan mereka dan usia yang terbaik adalah di usia sepuluh tahun. Usia itu katanya hasil kajian daripada pengkaji semata-mata. Sejauh mana kebenarannya, tiada siapa yang tahu.
Kata pengkaji, jika aliran tersebut dibuka lebih awal, ia belum benar-benar matang dan jika dibuka lewat, ia sudah ‘tua’ untuk merasai tenaga Elemental yang bersepadu dengan alam.
Orb Elemental ini pula sangat sukar untuk ditemukan apa lagi untuk dimiliki. Bagi Keluarga Besar dan Keluarga Agung, ia merupakan warisan turun-temurun yang disimpan di dalam bilik kebal keluarga mereka.
Bagi Keluarga Teragung dan Keluarga Purba, mereka mempunyai banyak koleksi orb ini dan ada juga Orb Asli yang mempunyai warisan daripada Elementalis Purba.
Setiap tahun, generasi baru yang berusia sepuluh tahun akan diberikan peluang untuk menggunakan orb yang ada di dalam simpanan mereka. Sebab itulah jurang di antara keluarga-keluarga ini semakin ketara.
Bagi mereka yang datang daripada keluarga biasa-biasa, mereka perlu membayar sejumlah wang yang sangat besar bagi memberikan peluang kepada anak-anak mereka untuk menggunakan orb tersebut.
“Alexis!” jerit Kael dari jauh saat matanya terpandang Alexis yang semakin menghampiri. Tangannya melambai-lambai bagi memudahkan Alexis mencari mereka berdua.
“Shhh! Perlahankan suara kau, Kael,” tegur Laxus dengan nada dan ekspresi yang sangat serius. Bimbang ada mata yang memerhati pergerakan mereka. Ditambah pula di kawasan berhampiran Pasar Gelap, mereka yang berada di sini bukanlah orang yang baik-baik.
“Tenang Laxus. Kau kan ada di sini. Siapa yang berani buat hal?” balas Kael dengan penuh selamba. Tersengih. Memang begitu sikap Kael. Orangnya sangat bersahaja. Wajahnya tampan, namun tidak setampan Alexis.
Tubuhnya seperti atlet. Setiap otot di tubuh Kael telah dilatih menggunakan satu rejim latihan yang dirangka khas oleh Alexis untuk seseorang seperti Kael yang tidak cukup rajin untuk berlatih.
Semuanya demi memastikan mereka semua dapat menjalankan misi dengan selamat. Fizikal yang kuat adalah keutamaan mereka. Namun, ciri yang mencuri tumpuan mengenai Kael adalah sifatnya yang ceria dan kelakar.
Laxus tidak membalas pernyataan Kael sebentar tadi. Sudah masak benar dengan perangai Kael. Pandangannya dialih tepat pada Alexis yang semakin hampir. Peka akan keadaan sekeliling. Itulah tugasnya di dalam kumpulan mereka, sebagai pelindung dengan kuasa Elemental dimilikinya.
“Laxus. Kael. Maafkan aku sedikit terlewat,” ujar Alexis sebaik sahaja dia tiba di lorong tersebut. Mereka sebenarnya sudah berasa risau dan ingin tahu apa sebenarnya yang terjadi.
Alexis tidak pernah terlewat dalam menyelesaikan ‘misi’ mereka. Sekalipun dia bukanlah Elementalis, namun fizikal Alexis sangat luar biasa. Tidak seperti remaja berusia lima belas tahun.
Setiap hari, Laxus pasti akan berlatih Seni Tempur Asas bersama-sama Alexis. Jika tanpa menggunakan kuasa Elemental miliknya, sangat sukar untuk dia menewaskan Alexis.
Alexis juga sangat bijak dan tajam akal fikirannya. Dia dianugerahkan Tuhan dengan memori eidetik. Sekali imbas, segalanya sudah tertanam jelas dan selamanya di dalam fikirannya.
Bagi kebanyakan Elementalis muda, mereka terlalu bergantung dengan kuasa Elemental milik mereka. Alexis pula, mencari jalan untuk menguatkan fizikal dan menajamkan akal supaya mampu untuk bersaing dengan para Elementalis.
Sebab itulah sangat jarang untuk dia melakukan sebarang kesilapan, terutama yang berkaitan ‘misi’ mereka. Mengambil kira semua faktor ini, Laxus mulai curiga.
“Kediaman mana kau sasarkan tadi, Alexis?” Keras nada suara Laxus.
Alexis tersenyum. Teruja untuk berkongsi cerita dan pengalamannya. “Aku ke rumah lamaku. Lihat apa yang aku berjaya dapatkan.”
Beg sandangnya dilurutkan, dibawa ke hadapan tubuhnya. Zip dibuka berhati-hati, luasnya cukup-cukup sahaja untuk mata mereka melihat isi di dalam. Ia dipenuhi rantai emas, gelang emas dan cincin emas!
Terbeliak mata Kael memandang hasil ‘tangkapan’ dalam ‘misi’ Alexis kali ini. Jika dikira secara kasar, mereka tidak perlu lagi risau akan keperluan harian mereka jika dijual kesemua barang kemas ini.
Namun, lain pula reaksi Laxus. Dia segera menerpa ke arah Alexis, wajahnya garang. Ditolak kasar tubuh Alexis ke dinding.
“Apa kau gila, Alexis? Rumah kau diawasi oleh Elementalis!” bentak Laxus.
Mustahil untuk Alexis tidak terkejut dengan tindakan sahabatnya itu, namun dia faham. Mereka sudah berjanji untuk tidak merisikokan keselamatan atau nyawa dengan mensasarkan kediaman yang mempunyai Elementalis.
“Tenang, Laxus. Aku tahu apa yang aku lakukan,” balas Alexis dengan penuh tenang. Menolak perlahan tangan Laxus. Cuba untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan kerana dia sedar bahawa dia di pihak yang salah. Merisikokan diri untuk mendapatkan kesemua barang kemas ini.
“Aku ada sebab aku sendiri. Ini…” Tangannya menyeluk ke dalam beg sebelum dikeluarkan seutas rantai yang mempunyai loket hati berunsurkan Elemen Api. Sangat halus ukiran dan sangat terperinci buatannya.
Kael menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Tiada apa yang istimewa dilihatnya pada rantai tersebut. Laxus pula masih lagi berwajah serius. Menanti apa yang ingin dikatakan oleh Alexis.
“Ia adalah kepunyaan ibuku. Pada hari ibu dan ayah keluar untuk menjalankan misi, itu adalah kali pertama juga ibu menanggalkan rantai ini.”
“Oh.” Hanya itu mampu diungkapkan oleh Kael. Tidak tahu reaksi bagaimana harus dia berikan. Kini dia faham kenapa Alexis bertindak sedemikian.
“Jadi, aku mengambilnya semula. Semua ini adalah hak aku dan Alexa. Tapi, hanya rantai dan loket ini yang aku ingin simpan.”
Sayu suara Alexis saat menyudahkan kata. Jelas bahawa dia sedang bertarung dengan satu perasaan, kerinduan yang tiada penghujung. Laxus dan Kael tertunduk mendengar suara Alexis.
Mereka juga sama. Kehilangan ibu, ayah dan keluarga mereka. Suasana terus bertukar sepi. Masing-masing terimbas memori tersendiri.
“Maafkan aku, Alexis. Aku tidak sengaja,” tutur Laxus memecahkan kesunyian.
“Aku cuma risaukan ‘keluarga’ kita. Aku tidak sanggup kehilangan kalian.”
Kael meletakkan tangan kanannya di bahu kanan Laxus. Cuba untuk menenangkan sahabatnya itu. Alexis juga sama. Diletak tangannya pada bahu kiri Laxus.
“Kami faham. Kami kenal diri kau bagaimana, Laxus.”
Laxus mengangguk. Wajahnya yang serius mula mengukir senyum. Laxus tidak setampan Alexis namun dia mempunyai aura seorang kesateria. Sukar untuk tubuh gagah itu mengukir senyum.
“Oh. Aku ada hadiah buat kalian.” Tangan Laxus pantas mengeluarkan sesuatu dari cincin simpanan Elemental miliknya. Sebuah cincin berwarna perak dengan sedikit ukiran ringkas padanya.
Para Elementalis mampu mengakses cincin simpanan Elemental yang mempunyai gred berbeza. Setiap gred pula mempunyai keluasan simpanan yang berbeza.
Cincin simpanan Elemental milik Laxus adalah gred rendah. Seluas 6.5 meter persegi sahaja ruangan di dalamnya namun sudah lebih dari mencukupi buat dirinya yang masih lagi merupakan Askar Elemental.
Lingkaran Elemental muncul di hadapan cincin tersebut sebelum perlahan-lahan sebuah kotak unik yang mempunyai ukiran Phoenix muncul. Sangat memukau sekali ukiran tersebut.
“Thump thump! Thump thump!”
Entah mengapa, tiba-tiba sahaja jantung Alexis berdegup kencang. Suatu sensasi yang tidak pernah dia rasakan selama ini saat matanya terpandang ukiran Phoenix tersebut.
Dia kemudiannya berasa dirinya dipanggil oleh ukiran tersebut. Perlahan-lahan tangannya dihulur untuk menyentuh ukiran itu. Laxus dan Kael sedikit hairan melihat tindakan Alexis ini.
“Kau okay, Alexis?” soal Kael.
Alexis tidak menjawab kerana dia tidak dengar apa yang diperkatakan oleh Kael. Dia terlalu asyik dengan ukiran Phoenix dan sensasi yang dirasakannya ketika ini.
“Alexis!” Kuat suara Laxus memanggil Alexis.
“Huh? Kenapa?” Terkebil-kebil mata Alexis memandang mereka berdua.
“Kau tanya kenapa? Kau tu kenapa?” bebel Kael. Berkerut wajahnya melihatkan reaksi Alexis ketika ini. Apa masalah Alexis?
“Aku kenapa?” soal Alexis semula.
“Alamak. Mati aku jika begini. Kalau aku tahu kenapa dengan kau, masakan aku tanya kau kenapa,” seloroh Kael.
“Kau sepertinya dirasuk sesuatu. Kau okay?”
Alexis terdiam. Dirasuk sesuatu? Jika ditanya, bukanlah seperti dirasuk sebaliknya seperti dipanggil ke arah sesuatu.
“Aku bukan dirasuk,” balas Alexis sambil ketawa kecil.
“Entah kenapa. Aku terpukau melihat ukiran Phoenix ini. Ia seperti sedang memanggil aku.”
“Maksud kau?” soal Laxus. Dia mula tertarik dengan apa yang Alexis katakan sekarang ini. Ditambah pula dengan kebijaksanaan Alexis, mungkin dia tahu sesuatu mengenai ukiran dan isi di dalamnya.
“Boleh aku buka?” tanya Alexis. Pertanyaan itu hanya dijawab dengan anggukan sahaja oleh Laxus.
Perlahan-lahan Alexis mengangkat penutup kotak tersebut. Di dalamnya, terdapat enam Orb Elemental yang tidak berwarna. Berkerut dahi Kael kerana sekalipun dia tidak pernah melihat Orb Elemental di depan mata, ia banyak dikongsikan di dalam talian.
Apa yang dilihat mereka sekarang ini tidak mempunyai warna, kelihatan seperti batu sahaja. Orb Elemental biasa, warnanya putih. Hanya akan bertukar warna sebagai tanda Elemental apa yang berjaya dijalin oleh Elementalis yang menyentuhnya.
Sebagai contoh, jika kanak-kanak berusia sepuluh tahun cuba untuk menjalin afiniti dan berjaya, warna yang muncul akan menandakan kuasa Elemental mereka.
Merah untuk Api.
Biru untuk Air.
Hijau untuk Angin.
Kuning untuk Tanah.
Perak untuk Logam.
Orb Asli yang mempunyai warisan Elementalis generasi lalu atau Elementalis Purba pula mempunyai warna dan Elemental yang tetap. Hanya mereka yang mempunyai potensi untuk menjalin afiniti dengan Elemen yang sama sahaja boleh mencuba nasib.
Begitu juga untuk mereka yang sudah bergelar Elementalis. Mereka tidak perlu lagi menjalin afiniti dan jika mereka terpilih untuk menerima warisan, segala ilmu, kuasa, kekuatan dan pengalaman Elementalis tersebut akan diwarisi oleh mereka.
“Aku ingin tanyakan kau mengenai perkara ini, Alexis. Kenapa ia tidak mempunyai warna tertentu?” soal Laxus. Sekalipun sedikit tidak yakin, dia tetap mengambil kotak ini kerana dia merasakan ada sesuatu yang sangat unik mengenainya.
“Aku akan ceritakan nanti kepada kalian. Semua perlu ada untuk mendengarnya. Buat masa ini, biarkan ia sebagai misteri,” balas Alexis dengan senyuman lebar, penuh teruja.
“Hidup kita semua berpotensi besar untuk berubah,” sambung Alexis, membuatkan Kael dan Laxus dapat menangkap sesuatu. Berdasarkan riak wajah dan nada Alexis, mereka tahu ia pasti merupakan sesuatu yang sangat menarik.
Kael tersenyum seketika sebelum wajahnya bertukar muram. Sedar akan sesuatu.
“Sebentar.”
“Harta sebegini pastinya bukan dari rumah golongan elit biasa…”
“Laxus!”
“Kau marah jika kami ke kediaman yang mempunyai Elementalis. Tapi kau sendiri?!” soal Kael.
Kali ini benar-benar berubah nada suaranya. Harta sebegini bernilai, pastinya datang daripada rumah Keluarga Besar sahaja.
“Aku setuju. Kau tak patut risikokan diri kau sebegini, Laxus. Tiada gunanya buat kami untuk menjalin afiniti dengan Elemen. Kami sudah lima tahun terlewat, Laxus,” tambah Alexis yang baru tersedar.
Sebentar tadi dia sangat teruja dengan apa yang dilihatnya. Baru kini dia faham dan dia juga jelas kecewa dengan tindakan Laxus. Tindakan sebegini sangat berbahaya.
“Sabar. Aku mengambilnya dari gudang dimiliki kumpulan Penyamun Hitam. Aku mengekori salah seorang ahli mereka sebentar tadi.” Tenang Laxus menerangkan apa yang berlaku.
“Kawalan di sana juga tidak ketat. Mudah aku menyelinap masuk ke gudang mereka. Jika perlu bertarung, aku yakin tiada yang mampu menandingiku ketika itu.”
Laxus menjelaskan rasional di sebalik tindakan yang dilakukannya. Sekalipun dia yakin akan kekuatannya, dia tidak akan bertindak bodoh.
“Ada beberapa lagi yang berjaya aku ambil dari gudang mereka. Tapi, firasat aku kuat membawa aku kepada kotak ini. Bila dibuka, aku tahu ia akan memberikan manfaat buat kumpulan kita,” tambah Laxus lagi.
Sama seperti Alexis, peduli apa dia dengan kelewatan usia yang sesuai untuk menjalin afiniti. Baginya, itu hanyalah teori yang direka manusia. Kononnya berdasarkan kajian.
Namun, jika Tuhan mentakdirkan, siapa yang mampu melawan-Nya?
“Baiklah. Ia pun sudah berlaku dan kau sendiri selamat kembali,” tutur Alexis, tidak mahu terus bertekak untuk perkara sia-sia.
Dia kemudian berpaling kepada Kael. “Apa pula ‘hasil’ kau hari ini?”
Kael tersenyum lebar seolah-olah menanti masa untuk berkongsi. Dia membuka beg galasnya dan mengeluarkan beberapa buah barangan berteknologi tinggi. Fungsinya? Belum dibeleknya lagi.
Dunia Solara, pesat membangun dengan teknologi moden. Ditambah pula dengan keistimewaan Elemen yang mampu dikawal manusia, menjadikan pembangunan dan teknologi lebih pesat.
“Ini merupakan salah satu alat hiburan golongan elit untuk menonton rancangan. Aku yakin, Alexa dan Wendy akan gembira dengan alat ini,” tambah Kael.
“Ada beberapa barangan lain yang boleh dijual. Tapi, aku rasa dengan apa yang Alexis bawa, jika dijual kesemuanya, kita boleh hidup selesa untuk beberapa bulan.”
“Aku setuju. Kita perlu berehat sebentar. Pergerakan kita juga agak aktif kebelakangan ini. Kita perlu hilangkan diri dari radar,” sokong Laxus dengan nada penuh serius.
Alexis dan Kael mengangguk. Mereka faham benar akan sifat Laxus yang sangat teliti. Jika firasatnya menyatakan sedemikian, mereka memilih untuk menurut.
“Ayuh. Kita ke Pasar Gelap. Pasti Alexa dan Wendy sudah lapar. Aku juga tidak sabar untuk bantu kalian menjalin afiniti,” gesa Laxus kerana dia ingin mereka semua mampu berdiri tinggi dalam sistem sosial masyarakat di Solara. Sebagai Elementalis.
Langkah mereka diatur pantas menuju ke sebuah kedai yang biasa dikunjungi mereka di Pasar Gelap. Kedai milik Catline. Sebuah kedai pajak yang kurang pengunjung namun sering membeli barang mereka pada harga yang sangat tinggi.
Setakat hari ini, belum pernah lagi Catline ‘menjual’ mereka kepada pihak berkuasa. Rahsia dan transaksi mereka dijaga dengan sebaiknya. Kali ini, mereka akan mengulang rutin yang sama.
BAHAGIAN LIMA: KISAH LIMA TAHUN LALU
Pasar Gelap
12 Flamisember, Tahun 10840
Pasar Gelap. Nama dan kawasan yang tidak disukai oleh kebanyakan penduduk Bandar Estola, terutamanya golongan elit.
Di sinilah tempat penduduk Wilayah Buangan mencari rezeki sama ada sebagai buruh atau menjual hasil kutipan dalam timbunan sampah.
Tiada siapa yang berani menyentuh penduduk Wilayah Buangan di sini, sekalipun mereka adalah kasta terendah dalam sistem sosial.
Semuanya kerana sebuah amaran tidak bertulis namun diketahui semua.
“JANGAN DISENTUH PENDUDUK WILAYAH BUANGAN ATAU AKU AKAN TAMATKAN RIWAYAT KALIAN SERTA MERTA!”
Ringkas sahaja amaran tersebut. Nampak seperti direka juga ada. Namun, tiada siapa yang berani melanggarnya.
Saban bulan, pasti ada individu atau kumpulan yang baru di Pasar Gelap. Dalam kalangan mereka, ada yang tidak mengendahkan amaran ini.
Belum sampai tempoh dua puluh empat jam selepas membuat onar, nyawa mereka pasti melayang. Kematian mereka juga penuh misteri. Tanpa sebarang kesan serangan atau kecederaan pada bahagian luaran.
Sebab itulah mereka bertiga berani untuk berurusan di sini sejak lima tahun lalu. Pada waktu itu, Kael belum menyertai mereka lagi.
“Kau masih ingat kenapa kita ingin mulakan ‘misi’ dan menjual di Pasar Gelap, Laxus?” soal Alexis. Saja dia mencari topik untuk berbual sambil melangkah menuju ke kedai milik Catline.
“Pastilah aku ingat.” Laxus tersenyum tatkala soalan tersebut diajukan.
“Eh? Aku rasa aku pun tidak pernah bertanya kalian bagaimana kalian bermula,” pintas Kael. Teruja untuk mengetahui kerana permulaan ‘misi’ inilah yang membuatkan mereka semua bertemu.
Laxus dan Alexis tersenyum memandang Kael. Tiba-tiba sahaja memori tersebut bermain di dalam fikiran.
***
Hari ini genap sebulan Alexis dan Alexa tinggal di Wilayah Buangan bersama-sama Laxus dan Wendy. Untung buat mereka kerana Laxus merupakan seorang Elementalis.
Dapatlah mereka memiliki sebuah rumah usang yang ditinggalkan selepas wujudnya kawasan perumahan baru di dalam Bandar Estola. Tiada siapa yang berani berebut rumah tersebut kerana tidak ingin bertempur dengan Laxus.
Namun, masih ada juga yang mencuba untuk merompak atau mencuri dari rumah mereka itu pada malam hari. Sudah menjadi rutin harian mereka berdua untuk bergilir-gilir menjaga rumah dan kumpulan mereka pada waktu malam.
Siang hari, mereka memilih untuk keluar bekerja dengan menjadi buruh di Pasar Gelap. Sehingga pada suatu hari, mereka tahu apa yang patut mereka lakukan untuk hidup dengan lebih baik.
Upah sebagai buruh tidak mencukupi. Hanya mampu mengisi perut seorang sahaja sekali sehari. Mereka pula berempat. Terpaksa untuk mereka keluar ke bandar dan mencari sisa makanan di dalam tong sampah.
Alexa dan Wendy kerap mengalami keracunan makanan disebabkan oleh makanan yang sudah tercemar. Sebab itulah Laxus mencadangkan kepada Alexis untuk memikirkan satu cara baru untuk mereka menambah pendapatan.
“Kita tidak boleh terus begini, Alexis,” ujar Laxus. Dahinya berkerut memikirkan masalah yang sedang dihadapi oleh mereka ini.
“Aku faham. Aku juga risaukan keselamatan Alexa dan Wendy. Sudah berapa kali mereka terpaksa dibawa ke Pusat Rawatan,” balas Alexis.
“Ia juga bahaya untuk kita. Kita dalam fasa yang sangat memerlukan nutrien yang mencukupi untuk menjadi lebih kuat. Sia-sia latihan kita selama ini jika tidak mendapat makanan yang berkhasiat.”
Laxus berasa sangat tertekan sekarang ini. Jika dahulu, dia hanya perlu fikirkan Wendy sahaja. Kini, ada tiga orang pula yang perlu dijaganya.
Nasibnya baik kerana Alexis sangat bijak, cekap dan kuat untuk sama-sama mencari pendapatan. Alexis juga merupakan teman tempur yang sungguh hebat. Jadi, dia gembira dengan kehadiran Alexis dan Alexa.
“Apa kita juga perlu mula berniaga di Pasar Gelap ini, Alexis?”
“Kau tahu apa yang dijual di sini?” Alexis menyoal semula kerana dia tahu Laxus tidak terlalu peka akan perkara lain selain berlatih, bertempur dan kekuatan.
Laxus termenung sebentar. Cuba mengingat semula segala jenis barang yang dilihatnya di sepanjang jalan Pasar Gelap.
“Aku lihat mereka menjual bahagian-bahagian tubuh Mergastua Elemental, teras Elemental, barang ganti elektronik, barang kemas, kedai pajak gadai dan... rasanya itu sahaja. Betul?”
Alexis mengangguk. Dia kemudian tersenyum sebelum membalas. “Kau tahu kenapa namanya Pasar Gelap?”
Laxus pantas menggeleng. Dia tidak pernah kisah akan perkara itu.
“Apa yang kau katakan tadi, adalah barangan yang dijual di atas permukaan sahaja, Laxus.”
“Perniagaan sebenar Pasar Gelap adalah barangan curi. Barang-barang ini mereka boleh jual tanpa disoal daripada mana mereka dapatkan dan kenapa ingin dijual. Para peniaga juga merahsiakan identiti para penjual barangan curi ini.”
“Peniaga ini pula akan menjual barang-barang yang dicuri ini di Pasar Gelap di bandar atau empayar lain bagi mengelakkan masalah timbul di kemudian hari,” terang Alexis.
“Barang curi…” Lama kali ini Laxus termenung. Mungkin sedang menghadam segala informasi baru yang diterimanya.
“Tanpa modal. Untung seratus peratus. Hanya risiko sahaja…” gumam Laxus. Alexis hanya memandang sahaja. Cuba untuk memahami apa yang sedang bermain di fikiran sahabatnya itu.
“Apa barang yang kau rasa paling laku untuk dijual di sini?” soal Laxus secara tiba-tiba.
“Barang paling laku? Aku rasa, barang seperti gajet, barang kemas dan berkaitan Elemental atau artifak pasti sangat laku di sini,” balas Alexis.
“Pap!”
Tiba-tiba sahaja Laxus menepuk tangannya. Terperanjat Alexis yang sedang khusyuk melayan perasaan sendiri.
“Aku dah tahu! Kau pernah dengar kisah Robin Hood?” tanya Laxus. Wajahnya jelas kelihatan gembira.
Alexis mengangguk. “Pernah. Kenapa?”
“Kita akan jadi Robin Hood Estola!” laung Laxus.
“Hah?!”
Laxus tersengih. Perkara yang sukar untuk Alexis lihat pada masa sekarang. Entah mengapa, semakin lama Laxus menjadi semakin pendiam dan serius. Mungkin tanggungjawab yang dipikulnya sangat berat sekaligus merubah perwatakan.
“Nanti aku akan ceritakan apa yang aku ingin lakukan. Kemudian, aku serahkan kepada kau yang bijak pandai ini untuk menyusun strategi,” ujar Laxus.
Malam itu, mereka tidak tidur sambil berjaga untuk menjaga keselamatan rumah mereka. Laxus mengutarakan idea yang dirasakan bernas itu kepada Alexis.
Rancangan Laxus mudah, memecah masuk dan mencuri daripada rumah golongan elit yang suka menindas penduduk Wilayah Buangan. Ada sebahagian penduduk di sini yang menjadi kuli di rumah golongan elit.
Sebahagian daripada golongan elit adalah manusia biasa atau Elementalis peringkat bawahan yang mempunyai jawatan di dalam pemerintahan yang tidak memerlukan kuasa Elemental. Disebabkan tekanan ekonomi, tiada yang mampu mengurus rumah mereka dengan baik.
Jadi, untuk memudahkan urusan mereka, mereka akan mengupah orang gaji. Namun, mereka ini juga tidak mempunyai wang yang banyak. Hanya penduduk Wilayah Buangan sahaja yang sudi menerima upah yang sangat rendah.
“Kau tahu bagaimana nak bezakan golongan elit yang baik dengan yang jahat?” soal Alexis. Cuba untuk menguji sejauh mana Laxus sudah memikirkan perancangan ini.
“Oh. Itu aku serahkan kepada kau, Alexis. Kau jauh lebih bijak daripada aku,” balas Laxus sambil ketawa.
Alexis menggelengkan kepalanya. Sudah dia agak. Laxus cuma mempunyai gambaran umum namun langsung tiada perancangan yang terperinci. Apapun, dia tidak kisah sebenarnya.
Setidak-tidaknya, dia mampu memanfaatkan ilmu yang sudah dihafal dan dipelajari dari buku-buku yang dibacanya dengan merangka strategi untuk ‘misi’ mereka ini.
“Baiklah. Cara paling mudah adalah, dengan memberikan kategori jahat yang sesuai kepada golongan elit ini. Sebagai contoh, jahat kerana rasuah, jahat kerana pemerdagangan manusia, jahat kerana jenayah seksual dan sebagainya,” terang Alexis.
Laxus mengangguk, setuju dengan kategori yang Alexis tetapkan. “Tapi, bagaimana untuk kita mengetahui semua ini?”
“Kita perlu menggodam sistem untuk melihat berita apa yang telah dibuang dari media oleh pihak pemerintah. Satu lagi tempat untuk kita godam adalah data laporan jenayah dari Pasukan Keselamatan,” jawab Alexis. Matanya serius merenung jauh ke hadapan, tanda sedang merencana sesuatu di dalam benaknya.
“Jadi, kau perlukan komputer?” tanya Laxus untuk kepastian. Bukannya dia faham apa yang dimaksudkan dengan menggodam, data atau sistem.
Alexis termenung lama. Untuk mendapatkan komputer, bukanlah perkara yang mudah juga. Kos untuk itu sahaja sudah mampu memberi mereka makan untuk dua atau tiga bulan.
“Usah risau. Kalau aku dapatkan komputer yang rosak, adakah kau mampu untuk membaikinya?” Laxus cuba untuk membantu dengan memberikan cadangan sedemikian.
Dia tahu Alexis adalah seorang yang sangat bijak. Sudah tentu Alexis mampu menghasilkan sesuatu dengan mudah. Komputer? Apalah sangat bagi Alexis untuk dia hasilkan. Begitulah apa yang sedang bermain di dalam fikiran Laxus.
Senyuman Alexis panjang. Kagum dia dengan keupayaan menyelesaikan masalah yang ada pada Laxus. Mungkin disebabkan dia sudah lama hidup di Wilayah Buangan, telah mengasah kebolehan ini dengan baik sekali.
“Bijak!” Tangan Alexis menepuk bahu Laxus. Dia boleh menggunakan komputer yang rosak atau mengambil mana-mana komponen untuk menghasilkan komputer yang lebih hebat lagi.
Berkenaan tenaga untuk menghidupkan komputer tersebut, dia boleh menghasilkan alat untuk menukar tenaga Elemental Laxus kepada tenaga elektrik. Konsep dan komponen yang diperlukan juga sangat mudah.
Panjang juga senyuman Laxus. Bangga kerana dia mampu menggunakan fikirannya sekali sekala untuk membantu Alexis. Biasanya dia hanya berjasa dari segi kekuatan sahaja.
“Baiklah! Awal pagi nanti kita akan terus ke bahagian buangan barangan elektronik. Pasti ada sesuatu untuk kita,” ujar Laxus. Jelas terpancar keterujaan pada dirinya. Dia ingin segera keluar daripada kesusahan hidup.
Biarlah apa cara sekalipun asalkan dia tidak menganiaya mereka yang baik dan tidak mencederakan atau membunuh sesiapa. Begitulah apa yang ada di dalam fikiran mereka berdua yang masih kecil ini.
Keesokan harinya, mereka terus mencari segala komponen yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah komputer dan alat penjana tenaga elektrik. Sebenarnya, apa yang mereka temukan ini mampu untuk menghasilkan sekitar tujuh buah komputer.
“Err…Besar ke komputer itu nanti, Alexis?” Laxus agak terkejut dengan jumlah barang yang perlu mereka bawa pulang ini. Belum sampai sepuluh pagi, sudah sebegini banyak yang mereka berjaya dapatkan.
“Aku tidak bercadang untuk menghasilkan satu komputer sahaja. Kita memerlukan beberapa komputer.” Wajah Alexis serius kali ini. Melihatkan itu, Laxus tahu pasti ada sesuatu yang sedang direncana oleh Alexis.
“Untuk menggodam, aku perlukan beberapa komputer yang berbeza kerana kita akan menggunakan talian awam. Kita akan melakukan proses ini di kawasan terpencil atau di lorong di dalam bandar.”
“Aku mampu menyimpan segala maklumat ke dalam minda dengan sekali imbas sahaja. Jadi, kita tidak perlukan alat lain. Sebaik selesai, kita akan terus jual komputer tersebut di Pasar Gelap,” terang Alexis.
Baru kini Laxus faham kenapa mereka perlukan beberapa buah komputer dan betapa berisiko rancangan yang dia cadangkan ini. Dia menelan air liur, sedikit cuak sebenarnya untuk menjalankan misi mereka ini.
“Eh? Kau takut?” usik Alexis melihatkan reaksi sahabatnya itu.
“Mana ada! Sejak nasib aku tertulis begini, aku tidak pernah takut,” nafi Laxus sambil tepat memandang mata Alexis.
Mereka berdua kemudiannya ketawa terbahak-bahak. Geli hati mereka melihatkan keadaan diri dan nasib satu sama lain. Laxus kemudiannya menghampiri Alexis. Dia sudah berhenti ketawa namun masih mengukir senyuman.
“Aku serahkan semua ini kepada engkau, kawan,” ujar Laxus. Tangannya digenggam menjadi penumbuk dan dihalakan ke arah Alexis. Matanya tepat memerhatikan Alexis. Menanti reaksi sahabatnya itu.
“Jangan kau risau!” balas Alexis. Menyentuh penumbuk sahabatnya itu dengan penumbuknya.
“Thud!”
Dua kanak-kanak, berusia sepuluh tahun, dua kisah kehidupan yang berbeza namun berkongsi satu misi yang sama. Untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik di Bandar Estola.
“Wah Wah! Lihat siapa yang aku jumpa semula!” laung seseorang dari satu arah. Dia sedang berdiri di atas timbunan barang elektronik yang dibuang ke Wilayah Buangan.
“Kau?!” jerit Laxus. Alexis juga berubah wajahnya. Menjadi lebih serius. Mereka berdua kenal siapa yang sedang mereka berhadapan sekarang ini. Ketua kumpulan yang mencari pasal dengan mereka sewaktu hari pertama Alexis dan Alexa di sini.
“Hahaha!”
“Kali ini kalian tidak akan terlepas!”
“Aku nak tembak budak rambut hitam tu! Berani dia tembak aku tempoh hari.”
Terlalu banyak suara yang kedengaran. Bertindih antara satu sama lain diselangi dengan hilai tawa jahat mereka.
Rupanya mereka sudah mengambil posisi masing-masing. Mengelilingi Alexis dan Laxus tanpa mereka sedari. Lapan orang kesemuanya. Di tangan mereka, masing-masing punya senjata yang berbeza.
Tiga daripada mereka memegang senapang patah dan sedang membidik, bersedia melepaskan tembakan. Dua daripada mereka memegang pistol. Lain-lain menggunakan senjata seperti belati, pedang dan kapak.
Setiap daripada mereka menggalas beg yang agak besar. Laxus dan Alexis yakin pasti ada sesuatu yang berharga di dalam beg yang digalas mereka itu.
Jadi, apa saja tindakan mereka selepas ini, perlu mereka pastikan tidak merosakkan apa barang yang ada di dalamnya. Silap juga kumpulan ini menggalas beg sebegitu besar.
Pergerakan mereka akan menjadi sangat perlahan. Semua ini akan dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh Alexis dan Laxus sebagai kelebihan buat mereka berdua. Mereka saling berbalas senyuman, merencana sesuatu tanpa bicara.
Alexis mengangguk. Dengan serta merta Laxus meletakkan kedua-dua tangannya di atas tanah. Sebuah Lingkaran Elemental Perak yang besar muncul di bawah mereka berdua.
Melihatkan ini, si ketua kumpulan tersebut berasa tidak senang hati dan terus menjerit untuk memulakan serangan.
“Tembak!”
Kesemua yang memegang pistol dan senapang menarik picu sebelum tembakan bertalu-talu dilepaskan ke arah Alexis dan Laxus. Nasib mereka berdua baik. Laxus terlebih dahulu menggunakan kuasa Elemental miliknya.
Sebuah kubah logam bulat terbentuk, melindungi mereka berdua daripada tembakan. Sekalipun kuasa Elemental milik Laxus berada pada tahap Perintis Elemental, tiada masalah untuk dia menahan serangan senjata biasa digunakan oleh manusia biasa.
“Pang! Pang! Pang!”
Kesemua peluru yang menghentam kubah bulat itu kehilangan momentum serta-merta. Alexis menarik nafas panjang. Pertempuran kali ini, sangat berisiko. Mudah sahaja untuk mereka kehilangan nyawa andai tersilap langkah.
“Sekarang, Laxus!” jerit Alexis menandakan mereka bakal menyerang balas. Kubah bulat tadi dengan segera berubah bentuk menjadi empat dinding logam tidak berbumbung.
Salah satu daripada dinding tersebut bergerak laju ke hadapan, menghala ke arah mereka yang menggunakan senjata selain pistol dan senapang. Kawasan si ketua sedang berdiri bersama-sama dua pemuda lain.
“Aku akan gunakan dinding ini untuk mengalih perhatian mereka semua,” rancang Alexis di dalam hati. Dia memilih untuk membuat satu serangan mengejut apabila dinding tersebut menghampiri tiga musuhnya itu.
Tiga dinding logam lain dipecahkan menjadi lima puluh keping segi empat kecil bersaiz seragam untuk setiap dinding. Semua segi empat bersaiz kecil ini terapung di udara sebelum berputar ligat setempat.
“Swoosh!”
Seperti shuriken, ia terbang menyerang musuh dengan pantas, ke arah mereka yang menggunakan senapang, pistol. Ada yang cuba menghalang dengan senapang, namun sia-sia.
Senapang tersebut terbelah kepada beberapa potongan. Terbelalak mereka melihat kejadian tersebut. Senjata milik mereka sangat sukar didapatkan. Apatah mereka cumalah penduduk Wilayah Buangan.
Kini, semuanya sudah hancur menjadi potongan-potongan kecil. Mustahil untuk mereka dapat membaiki kesemuanya semula. Belum habis mereka berasa sedih, semakin banyak kepingan logam yang terbang ke arah mereka.
Ada yang tidak sempat bertindak apa lagi mengelak. Kepingan logam tersebut menusuk tepat ke arah jantung mereka. Serta-merta nyawa mereka melayang begitu sahaja.
“Argghhh!”
“Karum! Kirom!” jerit salah seorang pemuda apabila melihatkan dua rakannya rebah, tidak bernyawa.
Bagi mereka yang sempat mengelak dari terkena bahagian tubuh yang kritikal, masih ada kepingan logam yang mencederakan tubuh mereka.
Sekalipun begitu, tiada senjata lagi yang dapat mereka gunakan yang mampu memberikan kelebihan buat mereka. Bukanlah mereka pandai untuk bertempur menggunakan senjata seperti belati, pedang dan sebagainya.
Laxus tersenyum, ini adalah peluang terbaik untuk dia menyerang!
==========
SEDIA UNTUK PERMULAAN KEMBARA DI SEBUAH DUNIA FANTASI DAN ELEMENTAL SOLARA?
Kembara Hikayat Elementalis Purba sudah bermula!
Borang ini adalah untuk pembelian JILID 1, anda akan terus diberikan akses selepas bayaran.
JILID 1 mengandungi 30 Bab.
Untuk versi digital, anda boleh membacanya di laptop, desktop, handphone, tablet atau apa-apa device.
Jualan JILID 1 dibuka sekarang pada harga RM9.
Akses untuk JILID 1 akan diberikan serta-merta selepas pembayaran dilakukan.